KUALA LUMPUR – Penyakit diabetes ternyata memberikan impak negatif kepada penghidapnya, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Kata beliau, penyakit diabetes juga meningkatkan masalah ekonomi pada individu, keluarga dan masyarakat serta menjejaskan produktiviti negara.
“Oleh itu, pengawalan diabetes dan pengurangan komplikasi berkaitan melalui pendekatan secara menyeluruh dan pembabitan aktif pesakit, beserta sokongan pendidikan diabetes yang bersesuaian, perubahan gaya hidup dan rawatan farmakologi, adalah penting,” katanya ketika merasmikan Panduan Amalan Klinikal (CPG) untuk Pengurusan Diabetes Mellitus Jenis 2 (edisi ke-6) secara maya hari ini.
Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, CPG ini sebagai suatu sumber berharga bagi ahli profesional kesihatan dalam memberikan penjagaan yang terbaik ke pada pesakit bermula dari pencegahan sehingga rawatan komplikasi.
“Menjadikan pesakit sebagai tumpuan utama dalam khidmat penjagaan kesihatan secara integrasi dapat meningkatkan motivasi mereka dalam melalui perjalanan kehidupan dengan diabetes,” katanya lagi.
Malah ahli profesional kesihatan katanya, perlu menggunakan teknologi dan inovasi serta menyedari akan potensi penggunaan aplikasi telefon mudah alih, lain-lain kemajuan teknologi, dan
tele-perubatan dalam memperbaiki pengurusan pesakit diabetes.
Noor Hisham berkata, peri pentingnya perkara iti kerana kini negara berada daalm norma baharu ekoran penularan Covid-19.
Jelasnya, biar pun negara dilanda Covid-19 namun itu tidak akan menghalang komitmen dan dedikasi jawatankusa CPG untuk terus memastikan penjagaan pesakit diabetes berada pada tahap optimum.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada para ketua dan ahli-ahli atas kerja kuat mereka, dan saya dengan tulus berharap agar dokumen ini dapat meningkatkan lagi tahap penjagaan diabetes
dan mengurangkan beban diabetes tahap dua di dalam negara kita,” katanya lagi.
Menurut dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi pada tahun 2019, seorang daripada lima individu dewasa atau kira-kira 3.9 juta orang berumur 18 tahun ke atas di Malaysia menghidap diabetes.
Malah menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, prevalen diabetes di negara ini didapati meningkat kepada 18.3 peratus berbanding 13.4 peratus pada tahun 2015. – MalaysiaGazette