Home Nasional Simbah minyak di lebuh raya: Orang ramai diminta lapor polis

Simbah minyak di lebuh raya: Orang ramai diminta lapor polis

Lebuh raya Karak-Kuala Lumpur

KUANTAN – Orang ramai yang mempunyai maklumat atau bukti tentang perbuatan khianat seperti menyimbah minyak di lebuh raya supaya tampil membuat laporan polis untuk  siasatan.

Ketua Polis Daerah Bentong, Supt. Mohamad Mansor Mohamad Nor menggesa demikian ketika  mengulas mengenai kemalangan beberapa buah kenderaan  berhampiran KM75.5 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur (KLK) Isnin lalu yang didakwa disebabkan perbuatan menyimbah minyak oleh individu tertentu.

Beliau bagaimanapun menafikan dakwaan sebagai tidak tepat, kononnya kemalangan itu berlaku akibat perbuatan khianat seperti yang tular di laman sosial.

Katanya, siasatan mendapati kemalangan itu berpunca daripada kesan minyak akibat daripada kemalangan yang berlaku sebelum itu.

“Memang benar semasa saya sendiri melalui tempat kejadian terdapat banyak kesan minyak tumpah, namun bukan sebab sengaja dicurah seperti yang digembar gemburkan,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, pihak polis dengan kerjasama pemegang konsensi lebuh raya berkenaan, Anih Berhad sentiasa mengawasi beberapa kawasan panas berlaku kemalangan di sepanjang KLK untuk menyekat  perbuatan khianat. – MalaysiaGazette