SEMBILAN hospital dan 3,000 sukarelawan tempatan telah memahat sejarah penting buat negara kita dan sektor kesihatan di dunia apabila terlibat dalam Kajian Klinikal Fasa 3 Vaksin Covid-19.
Kajian fasa 3 ini sangat bersejarah dan bermakna kepada negara kita, terutama dalam bidang kesihatan, kerana ia adalah satu lagi peristiwa penting (important milestone) apabila kita merupakan satu-satunya negara di dunia yang menjalankan ujian klinikal fasa 3 ini luar dari Republik China.
Perkembangan ini juga sangat penting kepada saintis dan pegawai perubatan yang terlibat. Tambahan pula pihak berkuasa dalam perkara ini iaitu Institut Biologi Perubatan Akademik Sains Perubatan China (IMBCAMS) sangat berpuashati dengan tahap dan kesediaan fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM), terutama di lapangan untuk menyertai dan melaksanakan kajian fasa 3 itu.
Apa maknanya? Ini membuktikan kepada kita semua bahawa fasiliti hospital KKM dan petugasnya adalah antara yang terbaik di dunia. Jika fasiliti kerajaan yang kita ada tidak bagus, saintis dan pakar farmaseutikal dari luar negara tidak akan sudi untuk membenarkan kajian penting itu dilakukan di Malaysia.
Apatah lagi banyak negara lain yang cukup berharap dapat peluang sertai dan raih manfaat dari teknologi farmeseutikal ini, tetapi mereka tidak dapat kepercayaan dari saintis dan pakar farmaseutikal dunia seperti yang negara kita peroleh.
Inilah bukti keyakinan dunia luar kepada sistem kesihatan yang sistematik, bersepadu dan berkualiti yang diterajui Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba.
Khidmat KKM Penuhi Harapan Rakyat
Setakat ini warga KKM terbukti mempunyai kualiti menyakinkan dalam khidmat penjagaan kesihatan. Hampir 70 peratus rakyat negara ini tidak pernah rasa was-was untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan di hospital dan klinik kerajaan. Bukan sekadar murah dan hampir percuma, malah kualiti perkhidmatan dan ubat-ubatannya tidak boleh disangkalkan lagi.
Hospital swasta pula hanya menjadi tempat ‘rebutan’ mereka yang kaya dan golongan yang mahu rawatan segera sahaja. Namun selepas rawatan major di swasta, mereka tetap ke hospital dan klinik kerajaan untuk rawatan susulan. Semuanya kerana kualiti perkhidmatan, dasar kerajaan yang menjamin harga perkhidmatan yang murah dan hampir percuma di
premis-premis kesihatan milik kerajaan, walau kadang kala mereka terpaksa berbaris dan tunggu lama.
Keupayaan Sektor Kesihatan Berdepan Pandemik Covid-19
Ketika Covid-19 mula menjadi pandemik dunia, keupayaan sektor
kesihatan negara memang lambat mengawal wabak. Bukan kerana kita tidak pernah diuji dengan wabak sebelum ini, tetapi keputusan kerajaan Ketika itu ialah tunggu dan lihat, serta tidak mahu menutup kedatangan pelancong luar negara. Ketika itu dunia sudah mula menyaksikan visual-vizual mengejutkan dengan paparan pesakit Covid-19 rebah di lapangan terbang dan tempat awam. Malah perhimpunan Jemaah besar di Desa Petaling, Selangor juga tidak dihalang.
Keadaan berubah apabila Malaysia mengambil beberapa langkah tegas dan berani demi melindungi kesihatan dan keselamatan semua penduduk negara kita. Sebaik mengangat sumpah sebagai Menteri Kesihatan pada petang 10 Mac 2020, Datuk Seri Dr Adham terus mendapatkan taklimat status dan meninjau Lapangan Terbang Antarabangsa. Hasilnya beliau pantas mencadangkan untuk negara menutup pintu sempadan dari negara luar, bermula dengan China, Itali, Iran dan Korea Selatan.
Jelas sekali beliau adalah doktor yang memahami strategi, kaedah kawalan penyakit berjangkit dan mesti bertegas mengenainya. Penilaian status Covid-19 seterusnya menunjukkan keperluan kecemasan dan beliau menasihat Perdana Menteri untuk melaksanakan penutupan sepenuhnya pintu sempadan negara.
Dr Adham, Akta 342 Dan PKP
Selepas menelaah latar belakang Kementerian Kesihatan, beberapa hari kemudaian, beliaulah menemui peruntukan dan segera mencadangkan penggunaan Akta 342 iaitu Akta Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terus tegas mengambil keputusan berani menerima cadangan Dr Adham dan menguatkuasakan kawalan penuh pergerakan dengan nama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020. Ia bukannya darurat ketenteraan dan alhamdulilah rakyat menerima baik dan penuh taat
kepada PKP itu.
Selepas hampir setahun Tan Sri Muhyiddin menerajui kerajaan, kita sama- sama menyaksikan system kesihatan negara berjalan lancar di bawah kepimpinan Dr Adham bersama pasukan pengurusan Tan Sri Noor Hisham Abdullah, pakar-pakar seperti Dr Hishamshah Ibrahim, Datuk Dr Norhizan Ismail, Datuk Dr Norhayati Rusli, Dr Nazrilla hairizan dan ramai lagi pakar
serta petugas barisan hadapan.
Walaupun ada beberapa kekangan, kemudahan hospital, klinik,
penambahan keupayaan makmal, mobilisasi sumber manusia,
kelengkapan dan perubatan masih dapat mendepani krisis besar iaitu wabak maut Covid-19 yang sama-sama kita hadapi ini.
Fitnah, berita palsu atau infodemik mengarut dan serangan peribadi nampaknya tidak pernah melunturkan perjuangan Dr Adham dan frontliners.
Dengan kepimpinan yang berpandangan luas dan pasukan pakar yang berpengalaman, kita boleh menjangkakann Dr Adham dan KKM akan memperkenalkan lebih banyak pembaharuan, reform dan kemajuan dan sistem kesihatan negara, walaupun ketika pandemik masih berlaku.
Kuncinya hanya satu iaitu memberi peluang masa kepada kepimpinan sedia ada untuk meneruskan usaha mereka dalam menambahbaik apa yang perlu ditambahbaik untuk kesejahteraan rakyat kita bersama.
Dr Muhammad Kelantani
Bandar Baru Bangi