Home Nasional KPWKM perlu fokus semula isu keselamatan kanak-kanak

KPWKM perlu fokus semula isu keselamatan kanak-kanak

Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) digesa kembali memberi fokus terhadap isu keselamatan kanak-kanak kerana merekalah nadi dan penentu masa depan negara kelak.

Gesaan itu dibuat oleh bekas menteri dan timbalan menteri KPWKM, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Hannah Yeoh susulan kematian tragis seorang kanak-kanak berusia 7 tahun baru-baru ini.

Mereka menggesa kementerian berkenaan memanfaatkan platform SMS Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk meningkatkan kesedaran komuniti dan mempromosikan nombor Talian Kasih bagi melaporkan kes penderaan.

”Semasa kami mentadbir, perkhidmatan Talian Kasih telah diperluaskan kepada aplikasi WhatsApp dan kami bekerjasama dengan GLC serta pelbagai syarikat korporat bagi mempromosi nombor kecemasan ini di lebuhraya, rangkaian farmasi, mengiklankannya di Google, dalam perkhidmatan bas, MRT dan LRT, syarikat telekomunikasi, papan iklan malah sehingga ke 35 lokasi melibatkan 282 panggung wayang di seluruh negara,” kata mereka dalam satu kenyataan di sini.

Selain itu, KPWKM diminta menambah bilangan pelindung kanak-kanak dan memberikan latihan dari semasa ke semasa kepada pegawai yang sedia ada.

Pada tahun 2019, MAMPU telah melakukan audit ke atas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang antara lainnya menyarankan pertambahan bilangan Pelindung Kanak-Kanak bagi memenuhi keperluan menangani isu kanak-kanak.

KPWKM juga diminta menambah baik kursus pra-perkahwinan dengan mewajibkan topik keibubapaan untuk mengelakkan ibu bapa daripada mengabaikan tanggungjawab mereka.

Wan Azizah dan Yeoh berkata, sebelum ini, usaha memperkukuhkan institusi kekeluargaan dilakukan dengan memperluaskan kursus keibubapaan oleh Tabung Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) dan melancarkan Direktori Perkhidmatan Keluarga sebagai ‘one stop centre’ yang memberikan khidmat sokongan kepada ahli keluarga yang memerlukan bantuan.

Tambah mereka, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bukan sahaja memberi kesan buruk kepada ekonomi dan kewangan negara, malah ia turut menjejaskan institusi kekeluargaan.

Menurut mereka, berita kematian kanak-kanak itu yang ditemui mati di dalam sebuah tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya, Melaka dengan kesan cedera dan lebam di beberapa anggota badan yang dipercayai didera oleh ibu kandung dan bapa tirinya semalam benar-benar meruntun jiwa.

“Tragedi seperti inilah yang sedaya-upaya mahu dielakkan semasa kami sama-sama mengemudi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM),” ujarnya. – MalaysiaGazette

+ posts