Home Di Bawah Kolong Beca roda tiga, dah hilang baru celik mata

Beca roda tiga, dah hilang baru celik mata

Gambar hiasan

BILA baca kenyataan seorang anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan yang sarankan anak muda negeri itu rebut peluang kerja pengayuh beca roda tiga (gatih teksi), saya tak tahu nak respon macam mana, nak menangis atau nak ketawa.

Bayangkan, ibu bapa berhabisan puluhan ribu ringgit, malah sampai ratusan ribu ringgit biayai anak belajar di universiti dan anak-anak kita pula menanggung hutang yang banyak dengan PTPTN, bila tamat belajar, balik kampung gatih teksi.

Selama 27 tahun mentadbir Kelantan bermula 1990, ini sajakah yang kerajaan Pas mampu sediakan peluang pekerjaan kepada rakyatnya? Ini sajakah idea yang ada bagi seorang Exco Kerajaan Negeri? Kalau begitu alangkah daif dan naifnya.

Saya sendiri tidak boleh nak bayangkan apa perasaan ibu bapa, ahli keluarga mahupun adik beradik apabila anak atau abang atau adik mereka kerja gatih teksi.

Kerja gatih teksi ni bukan masuk jam 8 pagi, balik jam 5 atau 6 petang. Nak cari rezeki dengan gatih teksi kena sebelum subuh lagi bangun. Lepas tu mandi, pakai baju lusuh, seluar lusuh yang dua tiga hari tak cuci. Kemudian kena pakai topi mengkuang untuk lindungkan kepala dari panas atau hujan.

Awal pagi sudah terpacak di tepi-tepi pagar pasar – Pasar Siti Khadijah terutamanya, untuk tunggu penumpang. Kalau kebetulan ada penumpang nak guna khidmat teksi, dapatlah rezeki. Tapi macam mana kalau mereka gunakan khidmat kereta haram macam “Prebet Sapu” atau kereta sewa?

Sekarang zaman semua nak cepat sampai. Kalau naik Prebet Sapu atau kereta sewa, hanya lima enam minit saja sudah sampai. Naik teksi belum tentu setengah jam boleh sampai ke destinasi. Jadi, mana satu pengangkutan yang penumpang nak? Tentulah kenderaan berenjin. Tidak terfikirkah oleh kerajaan negeri akan hal ini?

Untuk tarik minat anak muda, lalu dikatakan kerjaya gatih teksi ini mendapat perolehan lumayan, kononnya dari pelancong asing.

Saya nak tanya Exco berkenaan, berapa kerat sangat pelancong asing masuk ke Kelantan? Kalau mereka datang pun, mereka akan tempah kereta sewa di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTIP), Pengkalan Chepa untuk ke pusat bandar Kota Bharu.

Mereka tak akan naik beca roda tiga yang akan ambil masa satu atau dua jam perjalanan dari LTIP ke pusat bandar dengan kadar bayaran tentunya lebih mahal dari kereta sewa kerana guna kuasa tulan empat kerat.

Beca roda tiga hanya dijadikan barang hiasan, bukan lagi sebagai kerjaya.

Exco sendiri pun saya rasalah, tak pernah naik teksi (beca) sama ada di LTIP ataupun dari kediamannya ke pejabat di Pusat Pentadbiran Kota Darulnaim.

Jadi, dia tak ada jiwa ke arah mendalami nasib pengatih teksi. Dan kenyataannya mengenai kerjaya gatih teksi hanya sekadar untuk dapatkan publisiti murahan saja.

Satu soalan saya nak tanya Exco berkenaan, sejak bila kerajaan Pas Kelantan melihat industri gatih teksi ini sebagai kerjaya yang patut diceburi?

Selama ini, tidak ada seorang pun sama ada wakil rakyat Pas mahupun anggota Exconya mengambil berat pasal nasib pengatih teksi ini.

Golongan ini hidup terumbang ambing. Periuk nasi mereka dinafikan dengan wujudnya secara berleluasa perkhidmatan Prebet Sapu, selain pengangkutan halal – kereta sewa.

Sepanjang saya terlibat dengan dunia media dan lebih 20 tahun bertugas di bumi Kelantan, hanya dua orang yang prihatin akan nasib golongan ini. Hamba Allah itu ialah Datuk Yaakob Mahmud (Allahyarham) yang lebih dikenali dengan panggilan Yamud dan Datuk Hajah Ilani Ishak (Allahyarhamah).

Kedua-dua insan mulia ini sudah tiada. Allah telah menjemput mereka ketika golongan pengatih teksi ini masih dahagakan kasih sayang dan perhatian. Serentak dengan kehilangan dua insan ini juga seorang demi seorang pengatih teksi meninggalkan kerjaya itu.

Hingga kini, hendak melihat satu atau dua pengayuh beca roda tiga di jalan raya pun sukar. Kalau ada pun, pasti kita tak sampai hati untuk melihat bagaimana kudrat tua mengerahkan tenaga membawa beban berat ke destinasi, dengan upah pula tidak menjanjikan pulangan yang baik.

Ada yang dapat purata RM5 sehari walaupun bekerja selama 12 jam. Ada juga dapat RM10 sehari semalam. Semuanya bergantung pada nasib. Kalau nasibnya baik, ada ramai penumpang guna khidmatnya, rezeki bertambah sikit. Begitulah kehidupan pengatih teksi. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Kerajaan negeri mahupun Exco berkenaan tidak pernah nampak masalah ini. Selama ini, mereka hanya pentingkan diri. Bila perkhidmatan beca roda tiga sudah pupus, baru gelabah nak cari pengganti.

Apabila mengajak anak muda menyambung warisan itu, maknanya kerajaan negeri berada dalam keadaan terdesak yang amat sangat. Barangkali budaya kerjanya berasaskan prestasi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) telah merosot teruk.

Biasalah orang terdesak. Mereka akan nampak apa saja yang sebelum ini mereka tidak pernah nampak, apatah lagi mahu melihatnya.

Mungkin Exco itu sangka pengatih teksi ini berumur 20-an tahun ke atas? Atau dia ingat kerjaya mengatih teksi ini pendapatannya mencecah sehingga RM3,000 sebulan?

Yang pasti, usaha kerajaan Pas Kelantan nak hidupkan semula kerjaya pengayuh beca roda tiga ini sudah terlambat. Yang pupus tetap pupus. Hilang dan lenyap dari muka bumi. Tambahan pula industri pelancongan di Kelantan yang bagai “hidup segan mati tak mahu”.

Okeylah, katakanlah kerajaan negeri berjaya hidupkan semula industri beca roda tiga sebagaimana di Melaka, ke mana pengatih teksi ini nak bawa pelancong?

Cuba nama tempat-tempat bersejarah yang kerajaan negeri pulihara untuk pelancong nak pergi? Cuba namakan nama jenis permainan rakyat dan persembahan budaya rakyat Kelantan yang kerajaan negeri jaga sehingga kekal sampai sekarang?

Lupakah semua permainan dan persembahan itu telah diharamkan sejak Pas mula mengambil alih Kelantan pada 1990? Dan sejak itu tempat-tempat bersejarah pun mula terbiar sehingga hilang identiti sejarahnya?

Kalau ada pun, ia tidak lagi asli seratus peratus. Contohnya, persembahan wayang kulit dan dikir barat. Identitinya telah hilang. Begitu juga persembahan Main Puteri, Menora dan Makyong, juga dinafikan kewujudannya.

Permainan rakyat seperti rebana, kertuk, gasing dan wau bulan tidak dipelihara dan pulihara, menyebabkan penduduk yang mahir dengan permainan ini hilang seorang demi seorang.

Tempat bersejarah seperti lokasi pertama pendaratan tentera Jepun di pinggir Kota Bharu dan kubu tentera Jepun serta hentian utama bijih di pesisiran laut Tumpat dibiarkan hilang dimamah panas dan hujan.

Sedangkan semua ini berkait rapat dengan pengatih teksi. Sebab itu seperti yang saya nyatakan di awal tulisan ini, saya tidak tahu sama ada nak menangis atau ketawa dengan pentadbiran kerajaan Pas Kelantan. – MalaysiaGazette