Home Nasional Minta kerajaan pertimbang benarkan kedai cuci kereta beroperasi – Veeran

Minta kerajaan pertimbang benarkan kedai cuci kereta beroperasi – Veeran

Veeran

KUALA LUMPUR – MIC meminta kerajaan menimbang agar pengusaha premis basuh kereta dibenarkan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Ahli Majlis Tertinggi MIC Pusat (CWC) merangkap Timbalan Ketua MIC Bahagian Taiping, Veeran Muniandy berkata, beliau dihampiri golongan itu setiap hari meminta bantuan berikutan menghadapi masalah kewangan.

“Kerajaan telah beri kebenaran untuk bengkel kereta malah kilang kereta dan bilik pameran boleh dibuka, juga kedai-kedai aksesori kereta.

“Mungkin ada baiknya jika kerajaan lebih prihatin dan bantu golongan pemilik kedai cuci kereta yang rata-rata mereka bukanlah golongan kaya raya, sebaliknya sederhana untuk kembali beroperasi.

“Mungkin boleh beri alternatif seperti ‘pandu lalu’ dan cuci kereta? Sekurangnya-kurangnya masih beroperasi dan dapat menjana pendapatan tidak seberapa itu. Kasihan mereka, sungguh teruk sebenarnya keadaan mereka ketika ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Veeran, pemilik-pemilik kedai cuci kereta masih perlu membayar sewa, gaji pekerja serta komitmen lain seperti pinjaman bank.

Tambah beliau, walaupun kes positif Covid-19 masih lagi tinggi, pada masa sama sektor ekonomi perlu dirancakkan.

“Ramai juga tertanya-tanya dengan sikap ‘selektif’ bagaimana semua yang berkaitan dengan kereta dibenar beroperasi tetapi bukan cuci kereta.

“Kita bukan hendak tuding jari kepada sesiapa tetapi ini adalah krisis serta penderitaan rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette