Home Nasional Demi cinta, wanita berusia 57 tahun rugi RM300,000

Demi cinta, wanita berusia 57 tahun rugi RM300,000

PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KEPALA BATAS – Seorang penjawat awam wanita kerugian RM300,000 selepas diperdaya oleh sindiket Love Scam baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa berusia 57 tahun dan masih bujang itu mendakwa dia ditipu selepas bercinta dengan seorang lelaki kononnya dari Amerika Syarikat menerusi laman sosial Facebook.

“Setelah hampir sebulan menjalinkan hubungan cinta, suspek mula menceritakan kisah sedih yang menimpanya untuk meraih simpati mangsa.

“Mangsa yang mula percaya serta bersimpati dengan kisah sedih tersebut bersetuju untuk menghulurkan bantuan dengan memberi pinjam wangnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, wanita itu telah memindahkan wang miliknya secara berperingkat bermula pertengahan Oktober sehingga akhir Disember tahun lepas membabitkan 49 transaksi ke dalam 14 buah akaun bank tempatan yang diberikan oleh suspek.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu mangsa memindahkan wang sebanyak RM300,000 kepada suspek tersebut dan hanya menyedari dia ditipu apabila lelaki itu masih meminta untuk meminjamkan wang sedangkan mangsa telah memberi jumlah pinjaman yang banyak kepadanya.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan pemilik akaun yang digunakan suspek dalam kejadian itu dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu. – MalaysiaGazette