KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) bakal menjadi peneraju kepada tenaga kerja pakar dalam bidang keretapi.
Ia berikutan industri keretapi yang semakin pesat membangun di negara ini seterusnya mengelakkan import tenaga kerja dari luar, MARA mengambil inisiatif menjadi agensi pertama yang menyediakan kursus berkaitan.
Menurut Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberikan peranan tersebut kepada MARA berikutan permintaan tenaga kerja dalam bidang tersebut ekoran perkembangan industri keretapi tempatan.
“Seperti kita tahu, kita sering bercakap tentang tren, LRT, MRT dan lain-lain, tapi ini memerlukan pakar yang ramai, dalam masa sama kita import pakar dari luar.
“Sudah sampai masanya, UniKL sudah pun ada kursus berkenaan keretapi ini di peringkat universiti dan Giatmara sudah pun diberi peranan melatih belia-belia kita di peringkat bawah dan pertengahan.
“Ini bermakna, MARA akan membekalkan tenaga pakar bagi projek-projek berkaitan keretapi,” katanya pada majlis sambutan rumah terbuka Aidilfitri MARA di Kuala Lumpur hari ini.
Sehubungan itu, proses pengambilan bagi kumpulan pertama sudah bermula sejak awal Julai ini, sebanyak 760 tempat dari pelbagai peringkat sijil.
Tambahnya, kursus tersebut akan berpusat di Pahang dengan kerjasama yang melibatkan Universiti Malaysia Pahang. -MalaysiaGazette