Home Utama Kanak-kanak disyaki didera selamat dikebumikan, ibu angkat redha pemergian Amir

Kanak-kanak disyaki didera selamat dikebumikan, ibu angkat redha pemergian Amir

Reaksi sedih ibu angkat kepada Allahyarham Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek, 7, Norlida Abu Hassan (tengah) selepas proses pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Padang Bekoh, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 01 FEBRUARI 2021.

JASIN – Kanak-kanak yang meninggal dunia akibat disyaki didera oleh ibu kandung dan bapa tirinya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Simpang Bekoh di sini, tengah hari ini.

Jenazah Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek, 7,  yang dituntut keluarga kandung ibunya di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka pagi tadi disolatkan di Surau Madrasah As Syakirin.

Jenazah kemudian dibawa ke tanah perkuburan yang terletak 600 meter dari rumah datuk kandung kanak-kanak itu.

Ibu angkat Amir, Norlida Abu Hassan berkata, dia redha dengan pemergian Amir dan berterima kasih keluarga kandung kanak-kanak itu yang bekerjasama sehingga selesai pengebumian.

“Alhamdulilah Amir sudah selamat dikebumikan. Wajah dia seperti sedang tidur, dia datang dalam mimpi minta percepatkan, jangan lambat-lambat. Abang dia mimpikan Amir minta cepatkan pengebumian.

“Alhamdulillah, semua lancar. Ummi tengok wajah dia fresh, tidak macam sudah meninggal beberapa hari lepas, macam dia sedang tidur, dia selalu tidur dengan Ummi macam itulah rupanya,” katanya teresak-esak.

Proses pengebumian Allahyarham Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek, 7, di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Padang Bekoh, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 01 FEBRUARI 2021.

Norlida kelihatan lemah dipapah beberapa kali ketika urusan pengebumian dilakukan.

Beliau juga dilihat mengusap-usap bantal milik arwah yang dipanggil Adik.

Ditanya adakah beliau akan melawat pusara anak angkatnya itu, Norlida berkata, dia akan sentiasa datang melawat.

“Dia sedang tidur, dia akan tunggu Ummi datang esok. Wajah dia sungguh tenang, dia kan anak syurga, tenanglah. Nanti Ummi akan datang,” ujarnya dalam tangisan.

Pengamal media yang mengemuruni Norlida turut mengalirkan air mata apabila melihat keadaan wanita itu.

“Semoga Ummi juga tenang, bersabar ya. Kami doakan adik Amir. Semoga tabah,” kata beberapa pengamal media itu.

Terdahulu, keluarga kandung arwah enggan membenarkan pengamal media membuat liputan walaupun telah mendapat kelulusan polis terlebih dahulu.

Demi menghormati hak serta privasi keluarga arwah, polis meminta para wartawan dan jurufoto menunggu di luar kawasan perkuburab ketika urusan pengebumian dilakukan.

Proses pengebumian Allahyarham Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek, 7, di Tanah Perkuburan Islam Padang Lebar, Padang Bekoh, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 01 FEBRUARI 2021.

Pada Jumaat lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut, dipercayai akibat didera ibu kandung dan bapa tirinya di Taman Krubong Jaya di Jasin, Melaka.

Kanak-kanak itu didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya dalam kejadian kira-kira 4jam  petang, namun siasatan awal polis mendapati terdapat kecederaan fizikal pada badan mangsa.

Mangsa sebelum ini dibesarkan keluarga angkatnya yang tinggal di Rawang, Selangor sejak arwah masih bayi namun ibu kandungnya mengambil semula beliau pada Oktober tahun lalu. -MalaysiaGazette