KUALA LUMPUR – Sistem penjagaan kesihatan awam berada dalam risiko susulan lonjakan kes jangkitan harian Covid-19 yang secara puratanya melebihi 2,300 kes.
Dengan 5,728 kes pada 30 Januari lalu, Fitch Solutions Country Risk and Industry Research menjangkakan lonjakan jumlah pesakit Covid-19 akan melumpuhkan kapasiti penjagaan kesihatan negara ini
Menurutnya, beban kes harian Malaysia secara purata sekitar 2,319 sejak awal tahun ini dan mencatat rekod baharu 3,027 pada 8 Januari 2021.
Angka ini dibandingkan dengan purata 149 dan kemuncak 217 pada bulan antara pertengahan Mac dan April tahun lalu, yang mana menyaksikan episod serius dalam penularan wabak ini di Malaysia.
Susulan itu, agensi tersebut meramalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini akan berlarutan.
Unit penyelidikan Fitch Group turut memberi amaran prospek ekonomi Malaysia yang suram dipacu oleh lonjakan kes jangkitan Covid-19, sekali gus smenurunkan ramalan pertumbuhan ekonomi.
Ia juga menjangkakan berlaku tekanan tambahan terhadap trend perbelanjaan dengan perniagaan terjejas teruk akibat PKP, ditambah pula dengan kurangnya bantuan ditawarkan semasa pelaksanaan PKP.
“Kami telah menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 10 peratus berbanding 11.5 peratus sebelum ini disebabkan pemulihan yang mengambil masa kerana penggunaan swasta yang lemah memandangkan sektor pekerjaan dan upah berada di bawah tekanan kuat.
“Kali ini disebabkan sokongan fiskal yang lebih rendah, memandangkan kewangan kerajaan semakin terhad dan hampir dengan had hutang yang meningkat sebanyak 60 peratus daripada kadar KDNK.
”Penurunan pertumbuhan KDNK ini akan memberi kesan negatif terhadap jumlah dana tersedia yang diperlukan untuk memperkukuhkan sistem penjagaan kesihatan Malaysia” tambahnya. – MalaysiaGazette