KOTA BHARU – Seorang lelaki yang dikesan positif dadah bersama isterinya yang juga pembantu taska, ditahan polis selepas disyaki melakukan penderaan ke atas anak angkat perempuan mereka yang berusia 15 bulan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan, ACP Wan Khairuddin Wan Idris berkata, pasangan berusia 26 (suami) dan 31 tahun itu, ditahan di rumah mereka di sebuah taman perumahan dekat Kok Lanas di sini, pada pukul 1 pagi tadi.
Beliau berkata, tangkapan dilakukan selepas polis menerima laporan daripada ibu kandung mangsa, yang mengesyaki anaknya itu didera selepas melihat kesan lebam dan parut pada muka dan badan anaknya.
“Daripada laporan yang diterima, ibu kandung mangsa yang berusia 32 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai, menyerahkan anaknya itu kepada pasangan berkenaan pada Ogos tahun lalu.
“Bagaimanapun, selepas diserahkan semula kepadanya pada November lalu, didapati ada kesan kecederaan di dahi, paha, tangan dan muka anaknya,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Jelasnya, ibu mangsa yang juga ibu tunggal berasal dari Besut, Terengganu merasakan ada sesuatu yang tidak kena, kemudiannya membawa anaknya itu ke Klinik Kesihatan Besut sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Katanya, pemeriksaan yang dilakukan oleh pakar pediatrik mendapati, ada kesan kecederaan lama (sebulan) disyaki didera, sebelum satu laporan polis dibuat.
“Hasil pemeriksaan oleh pakar Ortopedik dapati, mangsa mengalami kesan patah lama pada kedua belah tulang lutut dan di bahagian buku lali di sebelah kanan. Kesan tersebut lebih kurang dua bulan dan tulang telah bercantum.
“Bertindak atas maklumat yang diterima sepasukan anggota polis dari JSJ IPD Kota Bharu telah menjalankan siasatan, dan berjaya menahan pasangan berkenaan di sebuah rumah di Kok Lanas, awal pagi tadi,” katanya.
Wan Khairuddin berkata, siasatan yang dijalankan mendapati lelaki itu turut positif dadah jenis Methamphetamine, selepas ujian air kencing dijalankan.
“Kedua -dua suspek yang bekerja sebagai penjual barang secara dalam talian dan pembantu taska direman selama tujuh hari, bermula hari ini sehingga 7 Feb dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta kanak-kanak 2001,” katanya.
Difahamkan, kanak-kanak itu adalah anak bongsu daripada enam beradik dan diserahkan kepada pasangan tersebut, selepas ibu kandungnya bercerai mankala lima lagi adik beradiknya dipelihara oleh bapa kandungnya sendiri. – Bernama