Home Nasional Air Selangor peruntuk RM293 juta kurangkan kadar NRW

Air Selangor peruntuk RM293 juta kurangkan kadar NRW

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman.

KUALA LUMPUR – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) meneruskan komitmen jangka panjangnya dalam mengurangkan kadar purata Air Tidak Berhasil (NRW) pada tahun ini dengan memperuntukkan sebanyak RM293 juta.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM170 juta  untuk program penggantian paip lama yang kritikal dan sebanyak RM16 juta pula untuk penukaran meter lama dan rosak.

Perancangan rapi dan strategik serta pelaksanaan inisiatif dalaman sepenuhnya sejak tahun 2017 akan diteruskan tahun ini dengan sasaran untuk mengurangkan kadar purata NRW sebanyak 0.5 peratus di mana iah berjaya dicapai selama tiga tahun berturut-turut sejak tahun 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman berkata, pihaknya telah merangka Key Performance Indicator (KPI) yang perlu dilaksanakan untuk memastikan penurunan kadar NRW 2021 dapat dicapai.

“Antaranya, pasukan pakar kebocoran dan pemeriksa kebocoran Air Selangor perlu mengesan sekurang-kurangnya 78,000 kes paip bocor pada saluran paip pengagihan dalam Program Pengesanan Kebocoran Secara Aktif.

“Seterusnya, menubuhkan sejumlah 75 District Metering Zones (DMZ) dalam Program Pembentukan Zon Pemeteran Daerah dan penggunaan 3,000 Alat Pengesan Kebocoran Kekal pada paip retikulasi di 60 Zon Pemeteran Daerah.

“Selain itu, penukaran paip lama dan usang terutamanya dari jenis Asbestos Cement sepanjang 150 kilometer menerusi Program Penggantian Paip Lama dan penerusan Pemasangan sensor pada paip-paip utama yang dianggarkan berjumlah 1,780 sensor untuk mengesan pressure transient dan kebocoran pada peringkat awal juga dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Air Selangor beriltizam untuk mengurangkan kadar NRW ke tahap 25 peratus pada tahun 2025 dan seterusnya ke tahap 15 peratus menjelang tahun 2049.

Menurutnya, Air Selangor telah berjaya mencatatkan penurunan sebanyak 1.1 peratus pada tahun 2020 iaitu dari kadar 29.7 peratus pada tahun 2019 kepada kadar 28.6 peratus iaitu melebihi sasaran yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada kadar 29.2 peratus.

Sebanyak RM255 juta telah diperuntukkan untuk memastikan penurunan kadar NRW berjaya dicapai.-MalaysiaGazette