KUALA LUMPUR – Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan terdapat empat projek yang telah disenaraikan untuk beberapa minggu ini sebagai persediaan menghadapi Liga Malaysia musim 2021.
Menurut kenyataan Pengarah Sukan JDT, Martin Prest, mereka bakal memperkenalkan tiga pemain baharu diikuti dengan perasmian JDT Cycling Studio yang kini dalam pembinaan.
Syarikat penerbitan yang berpengkalan di Singapura iaitu 108 Media dipilih sebagai pemegang hak jualan untuk siri dokumentari khas JDT bertajuk “Fearless: Rise of the Johor Southern Tigers.”
Ia mempunyai lima episod menceritakan tentang kisah perjalanan JDT sehingga menjadi sebuah kelab bola sepak yang berjaya di Asia.
Berdasarkan carian di internet, 108 Media juga mempunyai hubungan kerjasama dengan beberapa syarikat penyiaran antarabangsa dan kemungkinan akan ditayangkan di saluran Netflix, HBO dan Astro.
Ini adalah dokumentari yang wajib ditonton oleh para peminat bola sepak tempatan untuk mempelajari bagaimana pengurusan JDT berfungsi, pembinaan stadium baharu dan juga kehebatan penyokong setia mereka, “Boys of Straits”. – MalaysiaGazette