Home Nasional Permohonan MUDA semak kehakiman cabar keputusan ROS ditolak

Permohonan MUDA semak kehakiman cabar keputusan ROS ditolak

Kerajaan didesak segera memberikan moratorium secara automatik kepada rakyat negara ini sebagaimana yang diberikan pada pelaksanaan PKP 1.0 dahulu.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang telah menolak pendaftaran Ikatan Demoktratik Malaysia (MUDA) sebagai sebagai sebuah parti politik.

Permohonan tersebut dikemukakan pengasas MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan 12 individu lain. 

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mariana Yahya, menerusi aplikasi Zoom sebentar tadi menolak permohonan semakan kehakiman MUDA untuk mendapat kebenaran memaksa ROS dan Menteri Dalam Negeri melaksanakan pendaftaran tersebut.

Menurut Mariana, MUDA perlu memfailkan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin  terlebih dahulu sebelum membawanya terus ke mahkamah.

Pada 12 Januari lalu, Syed Saddiq dan 12 yang lain  telah memfailkan permohonan semakan itu dengan menamakan ROS dan Menteri Dalam Negeri masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.

Mereka juga memohon perintah untuk membatalkan keputusan ROS yang menolak pendaftaran MUDA sebagai pertubuhan bawah kategori parti politik mengikut Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1966.

Syed Saddiq dalam afidavit sokongan difailkan bersama semakan kehakiman berkata, pihaknya menerima surat daripada ROS pada 6 Januari lalu yang menyatakan bahawa permohonan MUDA tidak mematuhi Jadual Pertama Akta Pertubuhan 1966 dan permohonan ditolak mengikut Seksyen 7 (3) (e) akta berkenaan.

“Terdapat kelalaian daripada pihak ROS untuk menjelaskan secara terperinci perenggan kecil atau peruntukan mana di bawah Jadual Pertama yang tidak dipatuhi oleh MUDA.

“Penaja-penaja MUDA tidak dapat mengetahui akan ketidakpatuhan yang dikatakan itu dan tidak dapat membetulkannya.

“MUDA telah mematuhi sepenuhnya semua peruntukan Jadual Pertama Akta Pertubuhan 1966. Oleh itu, tidak ada asas untuk menolak permohonan pendaftaran MUDA,” katanya.

Syed Saddiq yang juga pengasas MUDA serta 12 individu selaku pemohon diwakili peguam, Tan Sri Tommy Thomas, Datuk Ambiga Sreenevasan dan Lim Wei Jiet.

Manakala KDN dan Hamzah Zainuddin pula diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambali. -MalaysiaGazette