Friday, November 15, 2024
Home Sukan Pesanan Nicol David buat atlet muda

Pesanan Nicol David buat atlet muda

Nicol David. Foto PrestigeOnline
KUALA LUMPUR – Selepas hampir tiga dekad menumpukan sepenuh masa dalam sukan skuasy termasuk hampir 20 tahun sebagai pemain profesional, ikon skuasy negara Datuk Nicol David kini mempunyai masa untuk melakukan banyak perkara baharu dalam hidupnya.
Sejak mula bermain pada usia tujuh tahun dan menyertai kejohanan antarabangsa pada usia 12 tahun dan memenangi Terbuka British Junior bawah 14 pada 1996, Nicol merupakan pemain yang paling banyak memenangi kejohanan dalam sukan skuasy dan menjadi inspirasi kepada jutaan peminat di seluruh dunia.
Nicol yang telah tersenarai dalam ‘Hall of Fame’ Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) pada 2011 dan diundi sebagai Atlet Terunggul Sepanjang Zaman pada Isnin berkata, agak sukar mempercayai sudah dua tahun menjalani kehidupan  di luar gelanggang, sejak mengumumkan persaraannya pada Februari 2019.
“Kehidupan selepas besara saya amat menarik sekali … saya belajar banyak perkara dan saya lihat bagaimana saya mampu untuk melakukan banyak perkara, selain skuasy,” katanya kepada Bernama menerusi temubual sidang video.
“Saya belajar secara dalam talian dan melakukan ceramah motivasi saya, jadi mencapai kepada orang ramai, mendapatkan input mereka dan mengetahui yang saya dapat memberikan semula dalam cara tertentu.
“Ia sesuatu yang amat bermakna untuk saya, tahu yang saya boleh lakukannya untuk orang lain,” kata Nicol yang Terbuka British pada Mei 2019 menjadi kejohanan terakhir disertainya.
Walaupun telah bersara, Nicol secara aktifnya terlibat dalam mempromosikan skuasy, memperkasakan wanita dan memberikan ceramah motivasi, selain menjadi mentor kepada kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019.
Nicol bagaimanapun amat berbangga dan terasa amat dihargai dengan semua kasih sayang dan sokongan daripada semua peminat di Malaysia di sepanjang kariernya sehingga kini, terutamanya ketika undian dalam talian Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia.
Walaupun merupakan wakil tunggal dari rantau Asia, Nicol menewaskan 23 lagi calon mewakili pelbagai jenis sukan selepas mendapat 318,943 undi, untuk menang dengan kelebihan 200,000 majoriti pada tempoh undian satu bulan yang ditutup pada malam Isnin lalu.
Bercakap mengenai sasaran masa hadapan, Nicol yang dikenali sebgai seorang yang suka merendah diri dan senyuman manisnya menyatakan, yang banyak sasaran dan rancangan yang belum dipenuhinya, kini dapat dilakukannya sekarang.
“Saya mahu untuk bersama dan berikan semula kepada masyarakat, untuk mempertahankan wanita, remaja dan sukan, untuk menjadi suara kepada mereka yang perlukannya. Saya telah lalui pengalaman hidup menerusi skuasy, dan kini saya bersedia untuk bersuara dan berikan peluang kepada orang lain untuk menyuarakan menerusi saya.
“Secara jujurnya, tiada apa (yang saya mahu tukar sebagai altet), saya telah capai apa yang boleh dicapai dan saya benar-benar bangga dengan apa yang saya telah lakukan untuk diri saya,” katanya.
Ditanya mengenai pengalamannya dalam melengkapkan kursus asas dalam Psikologi Positif di Universiti Pennsylvania, Nicol berkata psikologi merupakan minatnya sejak beliau masih menjadi atlet.
“Sebab itulah ketika saya berlatih, saya sentiasa berminat untuk mahu memahami lebih mengenai pemikiran, dan bagaimana untuk mengetahui apa yang perlu dilakukan ketika saya bertanding … Tetapi dalam proses itu, saya sedar yang ia diterjemahkan kepada semua perkara. Kita boleh lakukan dalam kehidupan seharian untuk melatih pemikiran kita, untuk menjadi lebih kuat dan berfikir secara positif dalam banyak cara.
“Pesanan saya kepada pemain-pemain muda ialah untuk terus berlatih bersungguh-sungguh dan berusaha ke arah sasaran anda dan juga mempunyai keinginan, kemahuan dan semangat dalam membawa kita kehadapan dan berusaha terus untuk apa yang kita benar-benar mahukan untuk diri kita,” katanya.
Nicol juga berharap yang komuniti kita akan bersatu dan lebih menyayangi antara satu sama lain dan benar-benar jujur dan positif sebolehnya, dalam menghadapi masa sukar melawan pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette