Saturday, November 16, 2024
Home Utama Perutusan khas PM petang ini

Perutusan khas PM petang ini

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual akan menyampaikan perutusan khas pukul 3.30 petang ini.
Perkara itu diumumkan di Facebook rasmi milik Muhyiddin sebentar tadi.
Perutusan berkenaan juga akan disiarkan secara langsung menerusi beberapa stesen televisyen tempatan.
Siaran langsung Perutusan Perdana Menteri itu turut boleh ditonton di portal www.malaysiagazette.com dan platform media sosial Facebook MalaysiaGazette.
Semalam, Kedutaan Besar Malaysia memaklumkan, Muhyiddin akan mengadakan lawatan rasmi ke Indonesia selama dua hari bermula hari ini bagi memenuhi undangan Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi).

Perdana Menteri dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma, Jakarta pada pukul 5.00 petang waktu Indonesia barat.

Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Zainal Abidin Bakar berkata,  ia merupakan lawatan pertama Muhyiddin sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-8 pada 1 Mac 2020.

“Terdapat beberapa perkara yang menyentuh kepentingan kedua-dua negara yang memerlukan perbincangan di peringkat tertinggi secara bersemuka dan secara hati ke hati,” katanya dalam sidang media semalam.

Pada Jumaat, Perdana Menteri akan diberikan sambutan negara di Istana Merdeka, Jakarta dan kemudiannya kedua-dua pemimpin akan mengadakan perbincangan empat mata sebelum membuat penyataan akhbar bersama.

“Antara isu yang dijangka dibincangkan adalah berhubung dengan isu diskriminasi minyak sawit, masalah jerebu, potensi usahasama pelaburan dan perdagangan, pelaksanaan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL), dan usaha kerjasama dalam menangani COVID-19,” katanya.

Zainal Abidin berkata program lawatan Perdana Menteri itu akan diadakan dalam suasana protokol kesihatan yang ketat termasuk menjalani saringan sebelum berlepas, selepas ketibaan, serta pelaksanaan kuarantin bagi delegasi sebaik pulang ke Malaysia pada petang esok. – MalaysiaGazette