IPOH – Seorang wanita warga emas berputih mata apabila wang tunai RM4,000 untuk dihadiahkan kepada dua orang cucunya diragut dalam satu kejadian di Jalan Serindit, Kampung Dato Ahmad Said Tambahan Dua di sini Isnin lalu.
Kejadian berlaku pada jam 12.40 tengah hari ketika mangsa berusia 73 tahun itu dalam perjalanan ke kedai berhampiran bersama suaminya sebelum dihampiri sebuah motosikal yang ditunggangi seorang lelaki.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, suspek menghampiri motosikal pasangan warga emas itu dan terus meragut beg tangan yang dipegang pada tangan kiri mangsa.
“Mangsa dan suaminya tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kejadian tersebut namun wang tunai berjumlah RM4,000 serta kad pengenalanya yang simpan dalam beg tangan tersebut dilarikan suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya lagi, hasil soal siasat mangsa mendakwa duit berkenaan dikeluarkannya dari sebuah bank pada minggu lalu untuk dihadiahkan kepada dua cucunya yang baru dilahirkan.
“Kejadian berlaku dengan pantas dan mangsa serta suaminya tidak dapat mengecam suspek yang memakai topi keledar bertutup penuh.
“Berdasarkan keterangan mangsa, suspek dianggarkan berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun dan usaha mengesan suspek kini sedang giat dijalankan,” ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Inspektor Muazzammar Mohd. Noor di talian 05 245 1500 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Dalam perkembangan sama, A. Asmadi turut menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan peka dengan keselamatan harta khususnya sejurus berurusan di bank.
“Kita percaya penjenayah akan mengintip pergerakan mangsa terlebih dahulu sebelum melakukan aktiviti tidak bertanggungjawab itu,” katanya. – MalaysiaGazette