
KUALA LUMPUR – Sebanyak 4,571 kes baharu positif Covid-19 direkodkan hari ini, meningkat hampir 300 kes berbanding semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu itu, 4,568 adalah penularan tempatan manakala tiga jangkitan di luar negara.
Berikutan itu, katanya, jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 direkodkan dalam negara meningkat kepada 231,483 kes.
“Selangor terus merekodkan kes positif tertinggi dengan 2,056 diikuti Johor (664) dan Kuala Lumpur (481),” katanya hari ini.
Ketika ini, seramai 48,771 individu sedang dirawat, dengan 308 ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dan 135 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.
Sementara itu, Dr. Noor Hisham berkata, 4,092 kes sembuh direkodkan jari ini berbanding 3,804 kes semalam.
Jumlah itu menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya adalah 181,886 kes, ujarnya.
Dr Noor Hishiam memaklumkan terdapat 17 kes kematian direkodkan hari ini melibatkan 15 warganegara dan dua kes bukan warganegara.
Pertambahan kes kematian menjadikan jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 826 kes. – MalaysiaGazette