KUALA LUMPUR – Sebanyak 10 kluster baru Covid-19 dikesan dengan enam daripadanya adalah kluster tempat kerja dan empat lagi kluster komuniti.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster itu dikesan di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Sarawak, Negeri Sembilan dan Pahang.
“Kluster Jalan Industri Rawang melibatkan daerah Gombak melibatkan 23 kes, Kluster Jalan Gombak juga di daerah Gombak melibatkan 41 kes, Kluster Jalan Jasmine di daerah Hulu Selangor dengan 61 kes, Kluster Parit Penyegat di daerah Muar, Johor dengan 34 kes, Kluster Jalan Pengiran di Matu, Sarawak dengan 20 kes, dan Kluster Permata Satu di daerah Seremban dengan 31 kes,” kata Noor Hisham.
Empat kluster komuniti yang direkodkan hari ini adalah Kluster Kampung Lukut di Kota Tinggi, Johor dengan 15 kes, Kluster Jalan Jelutong juga di Kota Tinggi dengan 7 kes, Kluster Kampung Pulau Jawa di Pekan, Pahang dengan 16 kes manakala Kluster Rantau Tanjung di Maran Pahang dengan 14 kes.
Sepuluh kluster itu kini menjadikan jumlah keseluruh kluster Covid-19 di negara ini kini 861 kluster.
“Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Persiaran Perkilangan (362 kes), Kluster Industri Serkam (201 kes), dan Kluster Jalan Perindustrian (150 kes),” kata Noor Hisham.
Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, 440 kluster tamat hari ini termasuk Kluster Desa Setapak.
Jumlah kluster yang aktif pula adalah pada paras 421 kluster. – MalaysiaGazette