Home Utama Guan Eng juga bidas Azmin dakwa Pakatan Rakyat masih wujud

Guan Eng juga bidas Azmin dakwa Pakatan Rakyat masih wujud

Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada mesyuarat ahli tertinggi Pakatan Rakyat di Ibupejabat Pas. foto Arkib MalaysiaGazette -SAFWAN MANSOR. 08 FEB 2015

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng juga membidas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mengatakan Pakatan Rakyat (PR) masih wujud di Selangor, ia selepas Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution turut mempertikai kenyataan tersebut dengan menyifatkan ia sebagai tidak munasabah.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP itu mengingatkan Mohamed Azmin dengan menegaskan gabungan PR sudah berakhir, malah kerajaan Pulau Pinang yang dipimpinnya kini adalah kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) dan bukannya PR.

“Kerajaan Pulau Pinang dipimpin Pakatan Harapan. Kami semua sebahagian daripada PH di peringkat nasional dan tiada lagi Pakatan Rakyat; itu sebabnya ada PH,” kata Guan Eng yang dipetik berkata kepada media selepas majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) hari ini.

Terdahulu, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR mendakwa PR masih wujud bersama dengan PH di negeri tersebut.

Walaupun DAP dan Pas telah memutuskan hubungan antara satu sama lain pada bulan Julai 2015 yang menjurus kepada pembubaran PR, PKR dan Pas masih mengekalkan hubungannya di Selangor dalam kepimpinan kerajaan negeri.

Saifuddin awal hari ini juga membuat teguran sama kepada Mohamed Azmin dengan mengatakan di Selangor tiada lagi PR. – MalaysiaGazette