KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan merangka prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) bagi memastikan latihan asas buat pelatih kepolisan itu tidak tergendala akibat penularan wabak Covid-19.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, latihan asas itu perlu diteruskan bagi mengelak kekurangan pegawai dan anggota pasukan beruniform tersebut susulan kira-kra 16,000 warga PDRM akan bersara wajib setiap tahun.
Jelas beliau, pihaknya akan merangka satu strategi SOP lebih ketat bagi mengekang penularan Covid-19 supaya program merekrut pelatih baharu dan latihan asas kepolisan itu dapat dilaksanakan seperti sediakala.
“Tidak kira musim Covid-19 atau bukan, program pengambilan anggota baharu dan latihan asas kepolisan amat penting untuk PDRM supaya tidak timbul masalah tiada kemasukan anggota sebagai pengganti mereka (polis) yang bersara wajib setiap tahun.
“Kejadian penularan Covid-19 di PULAPOL ini baru berlaku dan sudah menjadi tanggungjawab saya selaku pemimpin utama pasukan tersebut untuk menyediakan SOP lebih ketat agar dapat menyekat penularan wabak tersebut,” katanya dalam satu temu bual khas bersama MalaysiaGazette di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman baru-baru ini.
Ketika diminta mengulas mengenai punca penularan Covid-19 di PULAPOL Jalan Sultan Yahya Petra,, Abdul Hamid menegaskan, lokasi itu turut dijadikan pusat operasi unit jenayah dan dadah sekali gus menyebabkan berlaku kesukaran menyekat pergerakan keluar dan masuk ke pusat latihan berkenaan.
“PULAPOL itu luas dan menempatkan seramai 7,000 individu termasuk tinggal serta datang bagi tujuan kerja jadi kita mahua sekat keluar masuk mereka ke dalam itu agar sukar,” ujarnya.
Setakat Selasa lalu, media tempatan melaporkan seramai 264 lagi pelatih di PULAPOL Jalan Semarak disahkan positif Covid-19.
Jumlah terbaharu itu menjadikan secara keseluruhan seramai 382 pelatih disahkan positif selepas ujian saringan dan pemeriksaan dilakukan sejak minggu lalu.
Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din berkata, selain 382 pelatih, turut dikesan positif adalah 46 kakitangan yang bertugas di Pulapol.
“Pada masa ini kita tidak membenarkan sebarang pergerakan keluar dan masuk ke pusat latihan berkenaan selain menghentikan semua aktiviti dan latihan,” katanya. – MalaysiaGazette