WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengumumkan dia akan segera menghentikan sokongan untuk operasi ketenteraan yang dipimpin oleh Arab Saudi di Yaman.
Langkah itu dikatakan menunjukkan pemerintah baharu AS itu merancang peranan yang lebih aktif dalam usaha mengakhiri perang saudara Yaman.
Biden berkata, perang telah menimbulkan malapetaka kemanusiaan dan harus dihentikan.
“Pada masa yang sama, Arab Saudi telah menghadapi serangan peluru berpandu, serangan UAV (dron) dan ancaman lain dari pasukan yang dibekalkan oleh Iran di banyak negara.
“Kami akan terus menyokong dan membantu Arab Saudi mempertahankan kedaulatan dan integriti wilayah dan rakyatnya,” katanya kepada diplomat semasa lawatan pertamanya ke Jabatan Negara.
Arab Saudi dikatakan menyambut baik ucapan Biden terutamanya komitmen yang diberikan terhadap pertahanan nasional dan menangani ancaman terhadapnya.
Biden juga mengumumkan Timothy Lenderking dipilih sebagai utusan khas untuk Yaman kerana beliau mempunyai pengalaman luas dalam berurusan dengan Yaman dan wilayah Teluk.
“Linderking juga pernah menjadi timbalan penolong setiausaha negara untuk urusan Teluk dan bertugas di Kedutaan AS di Riyadh,” tegasnya.
Isu yang berkaitan dengan konflik di Yaman adalah salah satu rangkaian perubahan yang dilakukan oleh Biden yang menurutnya akan menjadi sebahagian dari arah pembetulan dasar luar AS.
Langkah itu dilakukan setelah bekas Presiden AS, Donald Trump dan beberapa pemerintahan Republik dan Demokrat sebelumnya sering membantu pemimpin autoritarian di luar negara atas nama kestabilan.
Perang saudara di Yaman telah menyaksikan pemerintah yang diakui antarabangsa berperang melawan gerakan Houthi yang berpihak kepada Iran.
Konflik tersebut telah meragut puluhan ribu nyawa, termasuk sejumlah besar orang awam, dan menimbulkan krisis kemanusiaan terburuk di dunia. – MalaysiaGazette