KUALA LUMPUR – Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan untuk menyelaraskan usaha penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengikut garis panduan standard dan menurut prosedur operasi standard (SOP) am yang diumumkan bagi pelaksanaan di seluruh negara.
Mengulas mengenai keputusan kerajaan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 18 Feb, Presidennya Tan Sri Soh Thian Lai berkata, FMM sentiasa menekankan bahawa untuk memutuskan rantaian jangkitan perlu ada jalinan usaha bersepadu antara sektor awam dan swasta.
“Pada masa yang sama, FMM juga ingin mengulangi bahawa perintah penutupan serta merta perniagaan yang tidak mematuhi SOP dan keadaan operasi perlu dibuat dengan mengambil pertimbangan beberapa cabaran utama yang dihadapi industri.
Soh juga berkata industri kecewa dengan pengumuman pada Khamis lepas apabila sektor yang diluluskan untuk menyambung perniagaan sebelum ini seperti tekstil, pakaian dan kasut tidak dimasukkan ke dalam senarai perkhidmatan penting.
“Ini juga termasuk keseluruhan rantaian bekalan, termasuk runcit dan industri/sektor lain yang mungkin menyokong secara tidak langsung perkhidmatan penting, serta syarikat berorientasikan eksport utama.
“Sektor-sektor ini tidak boleh berterusan ditutup dalam tempoh PKP yang dilanjutkan ini kerana ia akan menjejaskan dengan teruk perniagaan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette