Home Utama TMJ ‘hadiah’ RM200,000 untuk misi bantuan Ebit Lew

TMJ ‘hadiah’ RM200,000 untuk misi bantuan Ebit Lew

Ebit Lew mengadap TMJ baru-baru ini.-Pix Ebiet Liew.

KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim menyumbangkan RM200,000 untuk misi bantuan yang dijalankan oleh pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Ebit selepas mengadap TMJ di Johor.

Tambah beliau, TMJ juga menyuarakan hasrat untuk menaja Ebit dan pasukannya misi bantuannya untuk menunaikan umrah, selain berkenan bekerjasama dengan pendakwah itu menghulurkan bantuan menerusi Kembara Johor.

“Terharu sebak dapat berjumpa DYMM TMJ.@hrhcrownprinceofjohor . Tuanku berkenan menerima mengadap. Terharu Tuanku memberi kata semangat dan mendoakan. Tuanku hadiahkan RM200,000 bagi misi saya.

“Tuanku juga ingin taja semua team saya pergi umrah. InsyaAllah akan bersama Tuanku dalam Kembara Johor,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.

Ebit yang terkenal dengan sifat dermawan dan aktif mengagihkan bantuan ke seluruh pelusuk negara terharu dengan keprihatinan  TMJ untuk menyumbang kepada rakyat khususnya yang memerlukan.

“Ya Allah TMJ sangat baik. Raja yang kuat memikirkan keadaan rakyat Johor dan seluruh Malaysia. Tadi panjang berbual berbincang bagaimana nak bantu orang susah dan menjaga agama Islam. Mendidik anak muda. Naikkan institusi pendidikan,” tambahnya.

Selain sering berhubung menerusi pesanan ringkas, Ebit mendedahkan TMJ melayaninya seperti rakan biasa tanpa ada perbezaan darjat.

TMJ selain itu ujarnya, sering memberi semangat kepada Ebit supaya meneruskan misinya untuk membantu golongan memerlukan, meskipun ada pihak yang tidak menyukai tindakannya itu.

“Saya malu sangat. Serius terharu terkesan akhlak dan sifat TMJ. Bayangkan dilayan macam kawan jer. Sedangkan saya cuma orang biasa. Dari awal lagi masa beri bantuan Tuanku selalu beri semangat pada saya. Kami selalu bermesej juga. Kata beliau paling berharga, ustaz teruskan kebaikan ini walau orang tak suka. Kita hidup bukan untuk popular tapi berjaya. Bantu rakyat. Sedangkan usaha saya ini amat kecil dibandingkan usaha TMJ. RAJA JOHOR.
.
“Menjunjung kasih Tuanku. InsyaAllah Tuanku offer (tawar) untuk membantu segala misi saya di masa akan datang. Ya Allah kurniakanlah rahmat kesihatan buat Tuanku agar terus memimpin kami,” tambahnya lagi.- MalaysiaGazette