Home Nasional Sindiket Pelaburan Iskandar Investment tumpas

Sindiket Pelaburan Iskandar Investment tumpas

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Komisioner Datuk Zainuddin Yaacob. Foto SYAFIQ AMBAK.

KUALA LUMPUR – Penjanaan wang menerusi pelaburan atas talian Facebook dengan keuntungan hampir RM50,000 dalam masa 24 jam.

Itu tawaran lumayan sindiket penipuan Pelaburan Iskandar Investment sehingga berjaya memperoleh pelaburan sebanyak  RM831,045.45 daripada pelabur.

Pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah berjaya menahan tujuh suspek yang disyaki mendalangi dan menjalankan kegiatan terlarang itu pada 1 Februari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata, kesemua suspek berkenaan ditahan di lima lokasi berasingan di ibu negara.

Katanya, modus operandi sindiket berkenaan adalah mendorong mangsa dengan pelbagai pujukan untuk melabur secara dalam talian melalui Facebook bagi menjana wang dengan menjanjikan keuntungan dalam masa 24 jam melalui tiga pakej.

“Pakej Gold mengkehendaki pelabur memasukkan wang RM350 dan dijanjikan pulangan sebanyak RM7350, diikuti pakej Premium dengan kemasukan wang sebanyak RM1,350 dengan pulangan 20 kali ganda iaitu RM28,350 dan akhirnya pakej Platinium dengan kemasukan wang RM2,350 dengan pulangan sebanyak RM49,450.

“Bertindak atas tangkapan pertama tiga wanita tempatan di ibu negara berjaya membawa kepada tangkapan susulan empat lelaki yang disyaki dalang sindiket pelaburan haram ini, yang mana kesemuanya suspek muda berusia 20 hingga 27 tahun.

“Dalam serbuan yang dijalankan di sebuah apartmen mewah yang dihuni keempat-empat suspek berkenaan berjaya membawa kepada pelbagai rampasan.

Antaranya 25 keping kad ATM pelbagai bank, 3 Macbook Air Apple, 3 kabel pengecas Macbook Air Apple, 1 komputer riba, 9 telefon bimbit pelbagai jenama, 2 beg silang, tiga dompet, wang tunai berjumlah RM64,994, serta tiga kereta jenis Myvi, Honda City dan Mazda CX5 yang kesemuanya bernilai RM450,000, katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah beliau, suspek pertama yang ditahan telah  direman selama empat hari sehingga hari ini sebelum dilanjutkan hingga 8 Februari ini di Mahkamah Majistret Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Setakat ini polis telah membuka 41 kertas siasatan ke atas sindiket yang beroperasi selama setahun sejak Januari 2020.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan orang ramai dinasihati supaya jangan terpedaya dengan testimoni, kenyataan atau janji palsu mana-mana sindiket yang menawarkan pelaburan pulangan lumayan,” tegas beliau.-MalaysiaGazette