WASHINGTON – Tentera Udara Amerika Syarikat akan melaksanakan semakan ke atas keselamatan global selepas seorang penceroboh memasuki pangkalan yang menempatkan pesawat presiden, Air Force One.
Ia susulan seorang lelaki yang tidak bersenjata memasuki pangkalan udara Andrews Khamis lalu.
Dia kemudian dikesan memasuki sebuah pesawat C-40, sebahagian daripadapesawat yang digunakan oleh pemimpin kerajaan.
“Semua orang memandang serius perkara ini,” kata jurucakap jabatan pertahanan John Kirby.
Setakat ini belum ada mana-mana pihak yang mengaitkan penceroboh itu dengan kumpulan-kumpulan ekstremis.
Suspek ditahan oleh pasukan keselamatan di pangkalan, menurut kenyataan dari tentera udara.
Dia diberi saman persekutuan kerana menceroboh dan diserahkan kepada penguatkuasaan undang-undang tempatan.
Difahamkan penceroboh itu diberi dua waran tangkap.
Tidak ada anggota yang cedera semasa kejadian tersebut.
Pangkalan udara Andrews terletak kira-kira 15 batu (24km) dari White House dan sering digunakan oleh presiden, naib presiden dan pemimpin AS yang lain. – MalaysiaGazette