Home Ekonomi Pemangkin kukuh dijangka pacu lonjakkan Bursa Malaysia

Pemangkin kukuh dijangka pacu lonjakkan Bursa Malaysia

Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka diniagakan tinggi minggu depan dipacu oleh pemangkin kukuh termasuk pakej bantuan COVID-19 Amerika Syarikat (AS) bernilai US$1.9 trilion, pelancaran program vaksinasi di seluruh dunia dan harga komoditi yang tinggi.

“Bursa Malaysia dijangka berada dalam fasa penstabilan dengan kecenderungan meningkat diniagakan antara paras 1,590 dan 1,600 mata minggu depan,” kata Ketua Pengarah Eksekutif Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan kepada Bernama.

Beliau berkata, pakej bantuan Presiden AS Joe Biden, sekiranya diluluskan, akan memberi limpahan positif kepada rantau ini dan Bursa Malaysia akan turut merasai impaknya.

Harga minyak mentah yang mencecah paras tertingginya dalam tempoh setahun melebihi paras US$55 setong juga memberi manfaat kepada bursa tempatan, katanya.

Beliau berkata, memandangkan 30 peratus daripada FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) adalah berkaitan komoditi, kenaikan harga minyak terutamanya minyak mentah akan dapat meningkatkan indeks itu.

“Faktor lain yang akan meningkatkan pasaran minggu depan dan seterusnya adalah program vaksinasi agresif kerajaan yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.

“Kita juga melihat kes harian telah turun daripada 5,000 kepada 4,000 dan pada Jumaat ia berkurangan ke paras 3,000. Kita berharap jumlah jangkitan kes akan terus menyusut, yang akan memberikan sentiman baik kepada pasaran,” katanya.

Sementara itu, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata minggu depan pasaran akan menumpukan kepada angka keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku keempat 2020 Malaysia yang akan diumumkan pada 11 Feb.

Beliau berkata negara jiran Indonesia menyaksikan ekonominya turun sedikit lebih daripada yang dijangkakan pada suku keempat, membawa kepada penguncupan tahun penuh pertamanya dalam tempoh dua dekat, ketika ia bergelut dengan kesan daripada pandemik COVID-19.

“Barangkali KDNK Indonesia akan memberikan sedikit bayangan bagaimana KDNK Malaysia berkembang pada suku keempat 2020. Oleh itu, kami menjangkakan pelabur kekal tidak memasuki pasaran menjelang pengumuman KDNK Malaysia dengan FBM KLCI diniagakan dalam jajaran ketat 1,575 hingga 1,590 mata.

“Apa juga data yang lebih baik daripada dijangkakan dapat memacu FBM KLCI melepasi paras 1,600 mata,” katanya.

Firma pembrokeran Malacca Securities Sdn Bhd berkata memandangkan aktiviti ekonomi mungkin dimulakan semula dalam tempoh terdekat ini, ia menjangkakan minat dagangan mungkin tertumpu dalam sektor pemulihan seperti pembinaan, bahan binaan, hartanah dan perjudian.

Sementara itu, kaunter teknologi, perabot dan yang berkaitan vaksin dijangka mengekalkan sentimen yang positif.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, petunjuk pasaran FBM KLCI meningkat 12.23 mata kepada 1,578.63 daripada paras 1,566.40 minggu sebelumnya.

Di papan skor, Indeks FBM Emas meningkat 138.51 mata kepada 11,502.32 manakala Indeks FBMT 100 menokok 124.63 mata kepada 11,229,56.

FBM 70 melonjak 312.48 mata kepada 15,059 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 874.50 mata kepada 13,062.36 tetapi Indeks FBM ACE susut 171.71 mata kepada 10,861.23.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 115.84 mata kepada 14,579.90, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 7.36 mata kepada 176.55 manakala Indeks Perladangan menokok 42.82 mata kepada 7,140.71.

Indeks Tenaga menambah 46.18 mata kepada 839.32, Indeks Teknologi naik 3.96 mata naik kepada 85.92 tetapi Indeks Penjagaan Kesihatan susut  20.35 mata kepada 3,577.50.

Dalam minggu dagangan yang singkat ini, jumlah dagangan meningkat kepada 26.16 bilion unit bernilai RM17.66 bilion daripada 25.57 bilion unit bernilai RM21.23 bilion daripada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 14.94 bilion saham bernilai RM13.54 bilion berbanding 15.34 bilion saham bernilai RM17.64 bilion.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 1.74 bilion unit bernilai RM307.50 juta berbanding 2.04 bilion unit bernilai RM320.29 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE turun kepada 9.47 bilion saham bernilai RM3.80 bilion daripada 8.19 bilion saham bernilai RM3.26 bilion pada minggu sebelumnya. – MalaysiaGazette