Home Politik MCA perlu kerja kuat kembalikan kepercayaan pengundi Cina

MCA perlu kerja kuat kembalikan kepercayaan pengundi Cina

Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin menegaskan parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA perlu segera mengembalikan kepercayaan masyarakat Cina di negara ini.

Beliau berkata, sudah tiba masanya masyarakat Cina di negara ini kembali kepada BN setelah kerosakan dan kehancuran yang dipamerkan oleh Pakatan Harapan (PH).

“Signifikan Tahun Lembu 2021 yang membawa makna kerja kuat, positif dan jujur perlu menjadi asas untuk masyarakat Cina kembali memikirkan semula dua tahun keadaan negara yang terjejas di bawah pentadbiran yang lemah.

“MCA perlu terus memainkan peranan utama dan bekerja kuat untuk membawa semula masyarakat Tiong Hua bersama Barisan Nasional,” katanya di Facebook, hari ini.

Bersama MCA, Khaled berkata, UMNO akan terus memperkasakan Muafakat Nasional (MN) yang ditubuhkan pada 2019 lalu.

“UMNO akan terus mempertahankan muafakat dan persepakatan bersama MCA melalui Barisan Nasional,” katanya.

Untuk rekod, MCA pernah mendukung semangat kebersamaan dan nilai-nilai sejagat yang ada dalam MN.

Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong optimis mana-mana kaum juga tidak akan menolak konsep berkenaan.

Menurut Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, selagi Muafakat Nasional mengamalkan sifat kesederhanaan dan mengambil kira pandangan dan menghormati kaum, beliau merasakan itu adalah nilai sejagat yang perlu disokong penuh.

Sebelum ini, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran, berkata beliau tidak ada masalah menerima Muafakat Nasional walaupun berlandaskan Islam, kerana pihaknya juga menyokong Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 yang dibawa oleh Pas. – MalaysiaGazette