KUCHING – Pada ketika ramai mula leka dengan kesan COVID-19, seorang bekas pesakit mengingatkan bahawa penyakit itu sangat memudaratkan malahan membawa kesan berpanjangan walaupun selepas penyembuhan.
Pesakit itu berkata, dirinya bagaikan di ambang kematian kerana duduk hospital selama lima minggu, termasuk koma selama 17 hari di unit rawatan rapi (ICU).
Dalam tempoh itu, Zhang Hui Yun turut kehilangan seorang adik perempuan yang bertemu ajal kerana COVID-19.
Menurut Hui Yun, walaupun dirinya telah sembuh lebih daripada lapan bulan, tetapi kesan penyakit itu masih menghantuinya kerana dia masih mudah letih malahan pertuturannya juga masih terjejas.
Katanya kepada Sinchew Daily, dia juga hilang ingatan bagaimana dia boleh dimasukkan ke hospital dan jenis rawatan yang diterima semasa di ICU.
Tetapi yang segar dalam ingatannya adalah kesengsaraan diri dan pesakit lain selepas dia dipindahkan ke wad biasa.
Selepas dipindahkan ke wad biasa, Hui Yun seakan-akan lupa cara untuk makan dan minum sehingga makanan “tersekat” di tekak dan dia juga tidak boleh berdiri semasa mandi, tetapi perlu duduk.
Katanya, walaupun sedih, tetapi dia tetap berasa bertuah apabila melihat pesakit warga emas di wad sama yang mengeluh dan menangis kerana kesakitan.
“Jangan pandang remeh penyakit ini, jangan ingat anda akan mudah sembuh selepas terkena jangkitan.
” Mungkin ada orang muda yang ingat jangkitan ini takda apa-apa, tetapi jangan juga anda menyusahkan warga emas,” katanya.
Disebabkan penyakit itu juga, rambut Hui Yun yang lurus menjadi kerinting selain mengalami masalah keguguran rambut yang serius.
“Walaupun masalah keguguran rambut bertambah elok selepas menjalani terapi tabib Cina, tetapi rambut saya masih kerinting.
“Saya juga mudah letih semasa berjalan atau naik tangga,” katanya yang sangat aktif sebelum terkena jangkitan.
Selain itu, disebabkan COVID-19, Hui Yun masih mengalami fobia apabila berada dalam khalayak ramai kerana bimbang dijangkiti buat kali kedua. – MalaysiaGazette