Home Politik Azmin tekad pertahan Gombak

Azmin tekad pertahan Gombak

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. foto MOHD ADZLAN, 24 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membulatkan tekad untuk terus berada di Parlimen Gombak.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu akan terus berkhidmat untuk para pengundi di kawasan itu yang dipegangnya sejak tahun 2008 lalu.

“Saya mengulangi tekad untuk terus memimpin Gombak dan mewakili setiap lapisan masyarakat, tak kira kaum dan agama.

“Inilah tanggungjawab saya sebagai ahli Parlimen dan warganegara Malaysia yang dambakan kemakmuran bersama buat semua anak Malaysia,” katanya hari ini.

Sebelum ini 10 pengundi mengheret Mohamed Azmin ke mahkamah dengan meminta pengisytiharan bekas pemimpin PKR itu berhutang tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Mereka juga mahukan pernyataan Mohamed Azmin melakukan penipuan dan telah melanggar sumpah jawatannya untuk melindungi, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan.

Menurut salinan Pernyataan Tuntutan, seumpulan 10 individu terbabit mendakwa Mohamed Azmin telah menipu dan melanggar kewajipan fidusiari melalui ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang, Februari lalu.

Dalam perbicaraan itu, Mohamed Azmin telah mendakwa  perlakuan seksual Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah antara sebab yang menyebabkan dia meninggalkan parti itu untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bekas Timbalan Presiden PKR itu pada 30 Januari lalu berkata dirinya telah hilang kepercayaan terhadap Presiden PKR merupakan salah satu sebab beliau membuat keputusan meninggalkan parti itu dan menyertai Bersatu.

Perkara itu dinyatakan Mohamed Azmin dalam pernyataan pembelaan berhubung saman yang difailkan 10 pengundi Gombak terhadapnya.

Bagaimanapun, laluan untuk Mohamed Azmin mengekalkan kerusi beliau agak sukar apa Yang Dipertua Pas Gombak, Salehuddin Nasir berkata memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Untuk rekod, Pas, UMNO BN dan Bersatu membentuk kerajaan pada Mac tahun lalu selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang. – MalaysiaGazette