Home Nasional Pengambilalihan FGV kena ambil kira kepentingan peneroka – Razali

Pengambilalihan FGV kena ambil kira kepentingan peneroka – Razali

Senator Datuk Razali Idris.

KUALA LUMPUR- Pengambilalihan FELDA ke atas syarikat FGV Holdings Bhd perlu mengambil kira kepentingan dan peneroka sebagai aset berharga selain pelan pemulihan yang lebih mampan serta menguntungkan ekonomi negara.

Pengerusi Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris melahirkan keprihatinan itu kerana sebahagian besar peneroka selaku pemegang saham FGV Holdings Bhd selain warga FELDA mendapat manfaat yang sewajarnya.

“Dalam hal ini, keuntungan bersama perlu dititikberatkan dengan terma yang munasabah dan tidak membabitkan kepentingan peribadi mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Razali juga berharap sesi penerangan yang sudah dilaksanakan kepada Ahli Jawatankuasa Perunding Peneroka, Majlis Belia FELDA Malaysia, Kami Anak FELDA, pengurusan wilayah dan rancangan FELDA, kakitangan serta pesara FELDA untuk membolehkan mereka memahami kepentingan usaha yang dijalankan dan disampaikan kepada warga peneroka mendapat pencerahan yang sangat jelas.

Justeru Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara berharap demi kepentingan 112,638 peneroka dan dua juta warga besar FELDA, pastinya pengambilalihan FELDA ke atas FGV Holdings Bhd dilaksanakan secara harmoni dan baik.

“Ini termasuklah soal harga tawaran RM1.30 sesaham perlu wajar mengikut harga sama yang dirundingkan secara bebas dan profesional dengan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan Urusharta Jamaah Sdn Bhd bersesuaian harga pasaran semasa.

“Justeru, keutamaan pengurusan tadbir urus serta kecekapan kewangan proses pengambilalihan syarikat daripada FELDA dituntut tanpa mengabaikan kepentingan pihak-pihak yang terlibat,” katanya.

Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara juga berpandangan langkah susulan selepas pengambilalihan FGV Holdings Berhad selesai kelak hendaklah bertindak mengadakan satu sesi penerangan yang jelas dan lengkap berkaitan potongan yang dibuat yang terkandung dalam hutang besar peneroka hendaklah dilaksanakan pihak berkepentingan dan berkaitan.

“Memberi jaminan prestasi termasuk harga dan kadar perahan minyak sawit diperhalusi, dibincangkan dan ditambahnilai menerusi rundingan bersama terutama bagi melindungi hak peneroka.

“Mengembangkan dan menambah nilai aktiviti hiliran secara lebih mampan dalam industri minyak sawit,” ujarnya.

Pengambilalihan FGV Holdings Berhad perlu menjadi tunjang kemajuan FELDA semula melalui pewujudan kerja berpendapatan tinggi, ekonomi berskala besar, mempertingkatkan taraf pendidikan dan latihan, memperkasakan kebajikan peneroka dan generasi peneroka serta membangunkan keusahawanan dalam kalangan generasi kedua dan ketiga peneroka, katanya.

“FELDA perlu memastikan untuk terus melindungi peneroka dan aset syarikat daripada dimanipulasikan pedagang rakus, syarikat konglomerat asing dan pihak tertentu yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan organisasi,” katanya.

Sehubungan itu, Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara mengulangi pendirian bahawa keutamaan peneroka adalah sangat penting dalam kesejahteraan kehidupan terutama ketika ini rakyat sedang mendepani pandemik Covid-19.- MalaysiaGazette