Home Ekonomi Pengangguran Disember 2020 meningkat pada kadar 4.8 peratus

Pengangguran Disember 2020 meningkat pada kadar 4.8 peratus

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin. foto SYAFIQ AMBAK, 26 JULAI 2020

KUALA LUMPUR – Pengangguran meningkat kepada 772, 900 orang dengan kadar 4.8 peratus pada Disember tahun lepas.

Ia dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengenai Statistik Tenaga Buruh pada Disember lalu memperihalkan mengenai kedudukan penawaran buruh berdasarkan Survei Tenaga Buruh (STB).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pada bulan terakhir 2020, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah ditamatkan bagi hampir semua negeri kecuali Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Sabah dengan perjalanan rentas negeri dibenarkan bermula 7 Disember.

Walaupun bilangan kes baharu Covid-19 melebihi purata 1,500 kes sehari, aktiviti ekonomi masih dibenarkan untuk beroperasi dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard yang ketat.

“Justeru, bilangan penduduk bekerja pada Disember 2020 meningkat 0.1 peratus bulan ke bulan atau bersamaan dengan 19, 300 orang kepada 15.22 juta orang setelah mencatatkan penurunan marginal pada bulan sebelumnya.

“Nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan kemampuan ekonomi untuk mewujudkan pekerjaan kekal pada 65.1 peratus.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengikut sektor ekonomi, penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan terus mencatatkan trend yang semakin meningkat terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit, kesihatan kemanusiaan dan kerja sosial, maklumat dan komunikasi serta pendidikan.

Bagaimanapun, guna tenaga dalam industri berkaitan
pelancongan seperti penginapan dan perkhidmatan makanan, pengangkutan dan penyimpanan serta kesenian, hiburan dan rekreasi terus menurun yang mencerminkan kesan pandemik kepada industri tersebut.

Guna tenaga dalam sektor pembuatan terus merekodkan pertumbuhan positif pada Disember 2020 manakala sektor pertanian dan perlombongan dan pengkuarian kekal dalam trend negatif bagi bulan kelima.

Begitu juga, sektor pembinaan turut mencatatkan penurunan bulan ke bulan.

Selanjutnya, Ketua Perangkawan berkata, daripada segi penduduk bekerja mengikut taraf pekerjaan, kategori pekerja yang merangkumi 77.6 peratus daripada jumlah guna tenaga meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 11.81 juta orang berbanding bulan sebelumnya.

Sementara itu, kategori bekerja sendiri yang merangkumi 15.8 peratus penduduk bekerja, terus mencatatkan pengurangan bagi bulan ketiga sebanyak 0.6 peratus kepada 2.40 juta orang pada Disember 2020.

Kumpulan itu terdiri daripada penerima gaji harian yang bekerja di pasar tani, pasar malam dan gerai makanan; freelancers serta pekebun kecil.

Bilangan penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu meningkat kepada 146, 200 orang berbanding November 2020 (142,00 orang) disebabkan pelaksanaan fasa PKP sepanjang bulan tersebut serta cuti persekolahan dan cuti perayaan yang singkat.

Kumpulan ini, yang berkemungkinan besar tidak dapat bekerja tidak dikategorikan sebagai penganggur kerana mereka mempunyai pekerjaan untuk dikembalikan.

Keadaan pasaran buruh pada bulan Disember 2020 yang masih dipengaruhi oleh krisis kesihatan dan kesan ekonomi telah memperlahankan momentum pemulihan pasaran buruh.

Oleh itu, pasaran buruh pada bulan ini kekal kompetitif dengan bilangan tenaga buruh meningkat seramai 27.8 ribu orang kepada 15.99 juta orang (November 2020: 15.96 juta orang) dan kadar penyertaan tenaga buruh pada bulan ini adalah pada 68.4 peratus.

Di samping itu, jumlah penduduk di luar tenaga
buruh mencatatkan penurunan sebanyak 2, 600 orang berbanding November 2020 kepada 7.37 juta orang dengan komposisi terbesar adalah disebabkan
bersekolah dan latihan.

Menjelaskan mengenai kedudukan penawaran buruh pada suku tahun keempat 2020, Mohd Uzir berkata, keadaan pasaran buruh bertambah baik secara beransur-ansur dengan tenaga buruh dan guna tenaga terus meningkat berbanding suku sebelumnya, masing-masing mencatatkan 15.92 juta orang dan 15.16 juta orang.

Sementara itu, katanya, bilangan penganggur meningkat kepada 760,700 orang dengan kadar pengangguran pada 4.8 peratus, meningkat 0.1 mata peratus daripada 4.7 peratus pada ST3 2020 (745, 00 orang).

KPTB meningkat 0.1 mata peratus kepada 68.5 peratus dengan lelaki dan perempuan masing-masing mencatatkan 80.7 peratus dan 55.3 peratus.”

Mengulas lanjut, Ketua Perangkawan berkata, pada suku keempat 2020, terdapat 533, 700 orang yang bekerja kurang daripada 30 jam seminggu kerana keadaan kerja atau kerja yang tidak mencukupi.

Daripada jumlah ini, 369, 100 orang dikategorikan di bawah guna tenaga tidak penuh berkaitan masa disebabkan mereka bekerja kurang daripada 30 jam seminggu serta mampu dan sanggup untuk menerima tambahan jam bekerja.

Golongan ini merangkumi 2.4 peratus daripada jumlah guna tenaga pada suku keempat 2020.

Sementara itu, guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran yang terdiri daripada mereka yang berpendidikan tertiari namun bekerja dalam kategori
pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah merangkumi 1.89 juta orang atau 37.4 peratus daripada jumlah penduduk bekerja yang berpendidikan tertiari.

Merumuskan kedudukan keseluruhan tenaga buruh, Ketua Perangkawan berkata, sepanjang tahun 2020, berdasarkan data purata suku tahunan, KPTB pada tahun 2020 menurun 0.3 mata peratus kepada 68.4 peratus.

Dalam tempoh yang sama, bilangan penduduk bekerja menurun 0.2 peratus kepada 15.1 juta orang.

Penurunan kecil ini disebabkan oleh ketidaktentuan dalam pasaran buruh susulan krisis kesihatan dan ekonomi pada tahun ini.

Berikutan negara mengalami permintaan buruh yang lebih perlahan pada tahun 2020 disebabkan impak negatif pandemik Covid-19, bilangan penganggur mencatatkan pertambahan melebihi 200,00 orang.

Krisis kesihatan telah memberi impak yang besar kepada tenaga buruh dan menyebabkan kadar pengangguran mencecah lebih 4.0 peratus berbanding kadar purata 3.0 peratus yang direkodkan dalam tempoh pra-krisis.

Oleh itu, bagi tahun 2020, kadar pengangguran meningkat kepada 4.5 peratus, kadar tertinggi yang
dicatatkan sejak 1993.

Menjelang akhir tahun 2020, Malaysia telah melepasi paras 100,000 kes Covid-19 yang direkodkan pada 24 Disember 2020.

Seterusnya, jumlah kes baharu di Malaysia terus mencatatkan peningkatan yang tinggi melebihi purata 3,200 kes setiap hari pada Januari 2021.

Bagaimanapun, dalam usaha untuk mengekalkan momentum pemulihan ekonomi dan sistem penjagaan kesihatan, kebanyakan aktiviti perniagaan dibenarkan untuk terus beroperasi seperti biasa dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard yang ketat.

Aktiviti tertentu masih dihadkan untuk beroperasi seperti aktiviti perhimpunan sosial, pawagam dan hiburan dan rekreasi.

Oleh itu, dijangka pasaran buruh Malaysia akan kekal berada dalam situasi yang mencabar pada awal tahun ini.

Bagaimanapun, dengan pelbagai bantuan dan inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan akan dapat membantu mengurangkan impak pandemik terhadap pasaran buruh.

Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 11 Januari lalu, Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) fasa kedua melibatkan temuramah secara bersemuka akan disusun semula.

Justeru, orang ramai yang masih belum membuat pengisian banci boleh mengambil peluang untuk mengisi maklumat banci secara dalam talian (e-Census) yang akan dibuka semula.

Maklumat lanjut berkaitan Banci Malaysia 2020 boleh diperolehi melalui portal banci iaitu www.mycensus.gov.my atau media sosial @MyCensus2020.- MalaysiaGazette