KUALA LUMPUR: Pengusaha stesen minyak yang mengambil kesempatan terhadap kenaikan harga minyak bakal berepan dengan tindakan undang-undang.
Kesalahan seperti menyorok atau menyimpan bekalan minyak, termaktub dalam Akta Kawalan Bekalan 1961.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin, mereka yang didapati bersalah, tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.
“Kami akan ambil tindakan. Ini merupakan satu kesalahan pada siapa yang menyorok kalau kita dapati. Seperti yang ada dalam undang-undang. Akta bekalan kawalan 1961,” katanya kepada wartawan selepas merasmikan World Food Festival di Lulu Hypermarket hari ini.
Hamzah turut mengesahkan KPDNKK menerima aduan mengenai masalah itu namun tidak dapat menyatakan jumlah stesen minyak yang didapati bertindak demikian.
“Bila saya dapat aduan daripada beberapa pengguna kita telahpun buat siasatan dan semalam saya bertemu dengan persatuan pengusaha stesen, minyak minggu depan saya berjumpa syarikat dan akan ambil tindakan kalau terbukti mereka melakukan menyorok. Aduan yang kita terima tapi tidak banyak,” tambahnya.
Terdahulu, akhbar atas talian Mstar Online melaporkan keluhan pengguna yang kecewa apabila mendapati beberapa stesen minyak yang ditutup seawal 9 malam pada Rabu namun dibuka semula pada 12 tengah malam.
Mereka mendakwa penutupan itu disengajakan disebabkan peniaga mahu mendapat untung lebih sebaik sahaja harga petrol RON95 dan RON97 diumumkan naik empat sen dan harga diesel pula naik tujuh sen berkuatkuasa pada Khamis. – MalaysiaGazette