Home Politik Penting untuk parti-parti Melayu bermuafakat – Annuar

Penting untuk parti-parti Melayu bermuafakat – Annuar

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa (dua kiri) beramah mesra bersama peniaga kecil pada Majlis Penyerahan Lesen Perniagaan KL Prihatin di Jalan Tengah Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 08 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Parti berteraskan Melayu perlu menunjukkan contoh yang baik dalam berpolitik, kata Tan Sri Annuar Musa.

Jusreru itu Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, penting untuk kaum Melayu di negara ini teguh berpegang kepada prinsip muafakat yang ditunjangi parti-parti melibatkan Melayu demi kaum itu sendiri.

“Saya merasakan kalau ada permuafakatan parti besar terutamanya parti Melayu, kita kena tunjuk contoh kepada orang lain kita kaum bumiputera dan kaum penduduk asal.

“Sesetengah orang kata kita golongan ‘tuan’ tapi bukan soal kita ‘tuan’ tapi kelompok teras kalau orang Melayu berpolitik secara sihat orang akan menghormati.

“Saya fikir tidak payah tunjuk perpecahan dan usaha untuk muafakat itu adalah lebih baik,” kata Menteri Wilayah Persekutuan itu selepas ditemui pada Majlis Penyerahan Lesen Prihatin Perniagaan di bawah KL Prihatin di Jalan Tengah hari ini.

Tegas Annuar, bercakaran sesama sendiri, membuat tuduhan palsu oleh sesetengah pihak itu tidak memggambarkan kesepaduan antara Melayu dalam arena politik negara.

Malah katanya, masyarakat khususnya orang Melayu perlu mengambil ikhtibar perpecahan sesama Melayu tidak menguntungkan mana-mana pihak.

“Ada pihak yang menyatakan saya pro Bersatu dan saya mengaku saya pro parti Melayu supaya tolong menolong antara satu sama lain, kalau saya kata pro Bersatu bukan maknanya saya nak masuk Bersatu.

“Ini supaya UMNO tolong Bersatu, Bersatu tolong UMNO. Begitu juga Pas, UMNO tolong Pas, Pas tolong UMNO. Baru jadi permuafakatan, itu mungkin pandangan peribadi saya yang mana setengah orang tidak suka,” akuinya.

Dalam pada itu, Annuar menegaskan pemimpin negara perlu kurangkan berpolitik dan lebih fokus kepada membantu rakyat tatkala penularan pandemik Covid-19.

Ujar beliau, rakyat lebih memerlukan bantuan dan sokongan daripada kerajaan yang kini tersepit dan terkesan kerana Covid-19.

“Tapi bila lihat keadaan negara seperti sekarang, negara perlukan keadilan, rakyat nak tengok kerajaan dan parti-parti menyumbang kepada rakyat dan buat kerja sebab itu saya tidak buang masa, saya turun ke bawah.

“Dengan cara demikian, kita berikan komitmen sepenuhnya tumpukan kepada rakyat dan kurangkan berpolitik,” katanya lagi.

Annuar pada awal Januari lalu dipecat sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid di Ibu Pejabat UMNO.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan diangkat menggantikan Annuar. – MalaysiaGazette