KUALA LUMPUR – Tindakan pemandu kereta yang membuat pusingan U di kawasan tidak dibenarkan di jalan raya mengakibatkan seorang penunggang motosikal cedera parah di Taman Bersatu, Rawang semalam.
Mangsa dikenalpasti sebagai seorang wanita berusia 23 tahun dalam kejadian pukul 4.30 petang itu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, semasa kejadian, penunggang motosikal jenis SYM terbabit dalam perjalanan dari arah pekan Rawang menghala ke rumah di Taman Tun Teja.
“Setibanya di tempat kejadian iaitu persimpangan lampu isyarat Taman Bersatu secara tiba-tiba sebuah kereta jenis Proton Persona yang dipandu seorang wanita berusia 35 tahun dari arah bertentangan telah membuat pusingan U.
“Akibatnya, mangsa tidak sempat mengelak lalu telah terlanggar motokar di bahagian hadapan kiri.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa patah kaki kanan dan tangan kiri dan dibawa ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Arifai, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 43(1) APJ 1987.
Justeru, polis meminta kerjasama dari orang awam yang menyaksikan kejadian kemalangan ini untuk tampil memberi maklumat dengan menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Sakri di talian 019-914 5899.
Ditanya mengenai keadaan mangsa, katanya, mangsa kini stabil dan menerima rawatan di hospital dan pemandu kereta itu berjaya dikesan pihaknya.
“Pemandu terbabit akan dipanggil segera untuk diambil keterangan,” ujarnya.- MalaysiaGazette