GUNUNG Lanno berusia lebih 330 juta tahun dan mempunyai ketinggian lebih 370 meter. Namun, gunung ini bakal lenyap dari muka bumi Perak oleh kerana kerakusan sang kapitalis dengan membuat aktiviti kuari. Selain itu, gunung terbesar di Lembah Kinta ini mempunyai lebih 30 gua batu kapur, Namun satu demi satu terhapus dan dijadikan kilang kuari batu kapur.
Kini sembilan gunung sudah digondol oleh mereka dan dengan adanya pengondolan Gunung Lanno, situasi ini akan menyebabkan runtuhan batu di sekitar kawasan.
KEADAAN GEOGRAFI DAN ALAM SEKITAR
Apabila aktiviti pengorekan berlaku secara besar-besaran, struktur dalaman gua tersebut akan berubah dan juga hilang nilai sejarah seperti spesis endemik, fosil dan lukisan prasejarah. Walaupun, ini membawa kepada hasil ekonomi daripada penjualan hasil mineral, namun ia akan mempengaruhi keadaan air bawah tanah (water underground), pengubahan saliran air dan berlakunya pembentukan lubang benam (sinkhole formation).
ALAM SEKITAR DAN PENCEMARAN
Apabila perkara ini berlaku, maka akan berlakunya banjir yang besar kesan daripada kekacauan terhadap keadaan geografi semasa. Penduduk di Ipoh akan mengalami pencemaran air serta kualiti air yang tidak baik buat kesihatan mereka.
Tasik yang berdekatan di kawasan tersebut akan mendapat ancaman seperti di Tasik Cermin, Gunung Panjang, Gopeng apabila terdapat kesan gelongsoran batu. Selain daripada pencemaran air, pencemaran udara juga terlibat dalam aktiviti kuari yang menyebabkan kualiti udara setempat mendapat kesan yang buruk.
EKONOMI LOKAL DAN PENEMPATAN MUNDUR
Apabila faktor geografi dan alam sekitar menghimpit kawasan setempat, maka agenda ekonomi lokal tidak dapat diteruskan malah terus mundur dan menyebabkan penempatan di situ merasai akibat dek kerakusan sang kapitalis dan sang penguasa yang tidak bertanggungjawab.
Lantas, penempatan tersebut tidak dapat dibangunkan dan diduduki oleh masyarakat. Apabila kawasan tersebut tidak dapat didiami, maka pengundi di sana juga berkurangan dan hanyalah tinggal kawasan DUN yang tidak mempunyai makna kepada sang penguasa.
KONKLUSI
Gunung-ganang menjadi pasak kepada Bumi, apabila diteroka secara melampau untuk kegunaan manusia, gegaran akan berlaku lebih teruk sekaligus ia menyebabkan bencana alam yang lebih parah. Dengan adanya penyalahgunaan Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) oleh sang kapitalis kuari, tidak mustahil akan berlakunya rasuah bagi meluluskan projek tersebut dan kecurangan terhadap undang-undang alam sekitar, kawasan gunung seperti ini sepatutnya digazetkan sebagai kawasan perlindungan di bawah PERHILITAN.
وَجَعَلْنَا فِي الْأَرْضِ رَوَاسِيَ أَن تَمِيدَ بِهِمْ وَجَعَلْنَا فِيهَا فِجَاجاً سُبُلاً لَعَلَّهُمْ يَهْتَدُونَ
Dan Kami telah menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka dan Kami jadikan padanya celah-celah sebagai jalan-jalan lalu-lalang, supaya mereka dapat sampai kepada mencapai keperluan rohani dan jasmani (Surah Al-Anbiya; ayat 31)
Oleh itu, BNYV menentang secara keras aktiviti kuari ini dan mendesak agar Kerajaan Perak terutama sekali kepada ADUN Selama, YB Haji Mohd Akmal Kamarudin selaku Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau membawa memo penutupan kuari di dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK) Perak untuk dipersetujui demi alam sekitar terpelihara dan anak cucu mereka terpelihara.
Muhammad Shaqib Shahrilnizam
EXCO
Barisan Nasional Youth Volunteers (BNYV) Malaysiasia