KUALA LUMPUR – Malaysia tetap menjadi destinasi pelaburan yang menarik kerana kedudukannya di kawasan Asia Pasifik dan di tengah-tengah ASEAN.
Selain itu, ia disokong oleh persekitaran pelaburan yang baik, termasuk ketersediaan infrastruktur yang sangat baik, perkhidmatan telekomunikasi, perkhidmatan kewangan dan perbankan, industri sokongan, kemahiran dan tenaga kerja yang dapat dilatih, serta peluang pasaran yang ditawarkan melalui 16 Perjanjian Perdagangan Bebas yang telah ditandatangani oleh
Malaysia.
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, Malaysia juga mengekalkan kedudukannya yang kuat di peringkat global, menduduki tempat kedua tertinggi di Asia Tenggara dan 12 daripada 169 negara untuk hubungan perdagangan dalam laporan DHL Global Connectedness Index (GCI) pada tahun 2019.
Menurut kajian bersama oleh KPMG dan The Manufacturing Institute di AS yang berjudul “Kos Operasi Perkilangan di Seluruh Dunia”, Malaysia berada di kedudukan keempat di antara 17 ekonomi dalam penilaian yang membandingkan daya saing ekonomi sebagai pusat perkilangan, yang mendahului negara-negara di Asia seperti China, Jepun, Vietnam dan India.
Malaysia juga berada di kedudukan yang tinggi iaitu pada kedudukan ke-12 dalam Doing Business 2020 Bank Dunia dan ke-27 dalam Daya Saing Dunia (World Competitiveness) IMD 2020.
”Ini menunjukkan kedudukan di atas yang dikeluarkan oleh pelbagai agensi mengukuhkan lagi ,” kata agensi itu.
Melihat ke depan, MIDA telah mengenal pasti 240 projek pelaburan asing berprofil tinggi termasuk syarikat Fortune 500 di sektor perkilangan dan perkhidmatan, dengan nilai gabungan pelaburan berpotensi RM81.9 bilion.
Ini termasuk rundingan yang sedang berlangsung dengan sejumlah syarikat terkenal di dunia dari pelbagai sektor seperti automotif, kimia, dan elektronik canggih dan teknologi dalam untuk menjadikan Malaysia sebagai hab perkilangan bernilai tinggi dan Rantaian Bekalan Global serta Perkhidmatan dan Hab Operasi Serantau.
Disokong oleh peningkatan adopsi digitalisasi yang pesat, terdapat peluang yang luas bagi para pelabur untuk meneroka
teknologi baru seperti Big Data Analytics, Cloud Computing, Artificial Intelligence dan Internet of Things (IoT) untuk menadaptasi cara baru dalam menjalankan perniagaan dan menjalankan lebih banyak kolaborasi teknologi.
Dalam hal ini, MIDA berkata, agensi ini sedang berunding dengan syarikat multinasional untuk penubuhan Perkhidmatan Data.
Pelaburan dalam Perkhidmatan Data akan memacu Malaysia ke ruang digital yang akan menggerakkan negara ke rantaian nilai dalam segmen ekonomi utama, termasuk sektor perkhidmatan seperti ICT, analisis data, reka bentuk dan pembangunan.
Sebilangan besar projek ini tertakluk kepada Non-Disclosure Agreements (NDA), oleh itu pengumuman akan dibuat setelah rundingan selesai.
Pada masa kini, MIDA juga telah menerima pelaburan berpotensi bernilai RM47.7 bilion ke negara ini.
Projek-projek ini, setelah diluluskan serta diharapkan dapat dilaksanakan dalam tahun 2021 hingga 2022.
”Meskipun penutupan sempadan antarabangsa yang sedang berjalan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di banyak negara bagi mengekang penyebaran Covid-19, MIDA terus lebih responsif dalam melakukan inisiatif promosi pelaburan yang inovatif dan agresif untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) melalui penubuhan 20 pejabat luar negara dan 12 pejabat negeri.
”MIDA secara aktif mengatur pelbagai program promosi pelaburan digital seperti webinar tempatan dan antarabangsa di platform maya,” tambahnya.
Menurutnya, penubuhan One Stop Centre (OSC) di MIDA berkuat kuasa 2 Oktober 2020 untuk memudahkan pergerakan pelawat perniagaan dengan mempercepat kelulusan kemasukan mereka ke Malaysia, adalah inisiatif utama oleh Kerajaan Malaysia.
Pusat ini berperanan penting dalam memastikan bahawa Malaysia kekal stabil untuk pemulihan dan pertumbuhan ekonomi dengan membolehkan pergerakan pelawat perniagaan menjalankan perniagaan mereka di Malaysia semasa pandemik.
Walaupun aliran masuk FDI sangat penting untuk perkembangan ekonomi berterusan, peranan pelaburan langsung domestik (DDI) tidak boleh dipandang rendah, seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-11.
Pelaburan domestik (DDI) akan terus memainkan peranan utama dalam pertumbuhan ekonomi dan setakat sembilan bulan pertama tahun lalu, DDI menyumbang sebanyak 61.2 peratus, atau RM67.2 bilion, sementara selebihnya adalah FDI.
Sejak lima dekad yang lalu, MIDA telah memainkan peranan penting dalam memberikan sumbangan besar kepada pembangunan industri Malaysia yang pesat terutama dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan dengan mempromosikan pelaburan, FDI dan DDI.
”Kerajaan akan terus berada di barisan hadapan untuk menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi dalam bidang teknologi dan inovasi untuk meletakkan Malaysia sebagai hab rantaian bekalan alternatif di Asia.
”Melalui kajian semula dasar dan pendekatan yang disasarkan, kerjaan akan memastikan Malaysia tetap menjadi lokasi pelaburan pilihan dengan persekitaran yang baik untuk pelaburan berkualiti di Asia,” ujar MIDA. – MalaysiaGazette