SESI persekolahan secara bersemuka bagi semua calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) Tahun 2020 akan berakhir pada esok, 9 Februari 2021.
Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) keputusan ini adalah untuk memberi ruang kepada murid bagi membuat persediaan kendiri sebelum peperiksaan bermula pada 22 Februari 2021.
Ironinya, belajar di sekolah secara bersemuka dengan guru pastinya tidak akan sama dengan persekitaran belajar di rumah secara sendiri.
Pada hakikatnya, tatkala tarikh peperiksaan semakin
hampir, murid sudah mula terasa bahang tekanan yang dibawa sejak dari tahun lepas.
Hakikatnya generasi SPM 2020 ini bakal dikenang sebagai kelompok murid yang paling kurang bernasib baik.
Hal ini dikatakan demikian kerana, mereka tidak dapat
menamatkan sesi persekolah pada tahun yang sepatutnya (2020), mereka juga tidak dapat menduduki peperiksaan pada tahun yang sama dan terpaksa pula berhadapan dengan tekanan apabila terpaksa menunggu lebih lama untuk menduduki SPM
berbanding generasi sebelum mereka.
Tuntasnya, kelompok “batch 2020” atau kumpulan 2020 ini berhadapan dengan cabaran yang cukup getir dalam menentukan
hala tuju masa hadapan mereka.
Hal ini dikatakan demikian kerana SPM akan menjadi detik penentuan masa depan mereka, sama ada dapat meneruskan
pengajian ke peringkat yang lebih tinggi atau perlu mencari kerja.
Apapun pihak KPM telah membuat keputusan, dan kita yakin pasti ada sebab dan juga hikmahnya.
Malah KPM juga tidak menghalang jika pihak ibu bapa, guru dan
sekolah bersetuju untuk mengadakan kelas tambahan sebagai persediaan murid sehingga tamat peperiksaan.
Justeru apa yang penting sekarang ialah, murid tidak boleh berputus asa.
Ini saat yang paling getir dan penting dalam hidup anda.
Memandangkan tarikh peperiksaan semakin hampir, gunakanlah segala masa yang ada ini untuk terus kekal fokus dan melipatgandakan usaha supaya kita dapat bersedia dari segi mental dan juga fizikal.
Walaupun sesi persekolahan dan bantuan pihak guru secara rasminya telah berakhir namun itu bukan detik pengakhirannya.
Kita percaya baik guru mahupun sekolah akan terus mencari jalan untuk membimbing anak murid masing-masing sama ada
secara dalam talian ataupun melalui kelas tambahan secara bersemuka.
Percayalah pihak PIBG dan sekolah akan mengambil langkah yang sewajarnya.
Justeru kita berharap semua calon SPM akan terus tabah dan tenang menghadapi situasi getir ini.
Jangan sesekali stress atau hilang pedoman pada saat-saat akhir
seperti ini. Dalam konteks ini, peranan ibu bapa dilihat sangat mustahak.
Memandang peranan guru akan terus berkurangan bila sesi persekolahan tamat, maka tanggungjawab itu perlu dipikul pula oleh ibu bapa.
Ibu bapa perlu terus memberikan dorongan, galakan dan motivasi kepada anak-anak supaya mereka kekal fokus dan bersemangat menduduki peperiksaan besar ini.
Ibu bapa yang bekerja dan sentiasa sibuk, kalau perlu ambil lah cuti dalam tempoh peperiksaan SPM ini agar kita dapat memberikan perhatian yang sepenuhnya kepada
anak-anak.
Perhatian ini bukan saja tertumpu kepada aspek pelajaran semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi semua aspek seperti penjagaan kesihatan, pemakanan, waktu tidur serta menyediakan keperluan lain untuk membantu anak-anak rasa selesa dan tenang ketika belajar di rumah.
Jadi kita berharap para ibu bapa bersedia dan sanggup berkorban demi masa depan anak mereka.
Semoga calon SPM 2020 berjaya mengharungi cabaran dan dugaan getir yang sedang mereka hadapi sekarang.
Ingat, kegagalan bukan lagi satu opsyen pada peringkat ini. Baik ibu bapa, guru, sekolah dan PIBG, inilah masa terbaik untuk kita
memberikan sokongan moral kepada semua anak-anak agar dapat mencapai kejayaan yang diidamkan.
Penulis adalah penganalisis isu-isu semasa