KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori pasir warganegara Indonesia yang dipenjara tujuh tahun kerana memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh menangis di Mahkamah Tinggi di sini hari ini sambil mengakui perbuatannya itu adalah bodoh.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Aslam Zainuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Fajrial, 36, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah semasa sebutan semula kes itu, hari ini.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun bagi tuduhan memberi sokongan dan dua tahun bagi kesalahan memiliki item berkaitan kumpulan pengganas Daesh dan memerintahkan kedua-dua hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 21 Sept 2019.
Dalam rayuannya, Fajrial yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia penanggung utama keluarga.
“Saya tidak pernah buat apa-apa jenayah lain selama ni. Apa yang berlaku ini adalah atas kebodohan saya sendiri. Saya ada anak kecil,” katanya sambil menangis.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Firdaus Abu Hanipah memohon agar mahkamah mengambil kira faktor kepentingan awam sebelum menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh dan memohon hukuman setimpal.
“Ia bukan sahaja menjadi pengajaran kepada tertuduh malah berupaya menjadi mesej kepada masyarakat di luar sana betapa seriusnya kesalahan ini dan beratnya hukuman sekiranya mereka terlibat dengan kesalahan sebegini.
Saya juga berharap agar hukuman ini akan membuatkan tertuduh berubah dan tidak lagi melibatkan diri dengan kesalahan sama,” katanya.
Fajrial didakwa telah memberi sokongan kepada kumpulan Daesh dengan cara mempromosikan kumpulan pengganas tersebut dalam perbualan aplikasi ‘WhatsApp’ bersama dengan seorang individu lain melalui telefon bimbitnya di rumah kongsi, Jeti Tolak Pasir, Kampung Permatang Arang, Pekan, Pahang antara 29 Julai 2019 sehingga 21 September 2019.
Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara sepanjang hayat atau penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda dan hendaklah dilucuthakkan mana-mana bahan tersebut.
Tertuduh juga didakwa memiliki item-item yang berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas Daesh di dalam telefon bimbit sama di tepi jalan berhadapan sebuah masjid, Pekan, Pahang pada 5.30 petang, 21 September 2019 mengikut Seksyen 130JB (1)(a) KK yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item tersebut. – Bernama