Home Nasional Plastik oh plastik: Percuma tak boleh, beli boleh

Plastik oh plastik: Percuma tak boleh, beli boleh

Larangan penggunaan beg plastik di Selangor berkuatkuasa 1 Januari lalu

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor telah menguatkuasakan larangan menggunakan beg plastik dan polisterin di semua pusat beli belah serta kedai makan di negeri ini mulai 1 Januari lalu.

Kalau pergi beli belah dan tolak troli yang sarat dengan barangan ke kaunter bayaran, juruwang akan berkata; “Minta maaf, beg plastik tidak akan disediakan lagi. Tetapi, kalau nak, boleh beli dengan harga 20 sen satu.”

Peliknya, kalau kerajaan negeri keluar arahan larang penggunaan beg plastik, kenapa pusat beli belah beri pilihan kepada pengguna?

Kalau sudah dilarang, sepatutnya hapuskan terus. Tidak boleh dijual beli atau diberi percuma secara sorok-sorok.

Ini yang orang ramai terutama golongan suri rumah persoalkan. Larang guna yang percuma tetapi boleh guna jika dibeli.

“Kalau larang, jangan guna, jangan jual,” kata seorang suri rumah yang mahu dikenali sebagai Fatimah ketika menegur seorang juruwang di sebuah pasar borong di Shah Alam, semalam.

Tidak diketahui sama ada penjualan beg palstik itu dibolehkan atau tidak, tetapi itulah yang berlaku sejak Ahad iaitu hari pertama tahun baharu 2017. Beg plastik dijual!

Selama ini, beg plastik diberi percuma kecuali pada setiap Sabtu sahaja dilarang, iaitu sebagai mematuhi kempen Tanpa Beg Plastik.

Tapi, mulai 1 Januari lalu, larangannya dilanjutkan sepanjang hari dari Ahad sampai Sabtu dan bersambung sehingga ke suatu masa yang akan diumumkan pihak berwajib nanti.

Larangan itu, kononnya sebagai langkah dan usaha kerajaan negeri hendak menyemai semangat sayangkan bumi.

Logikkah alam sekitar akan selamat dengan penggunaan beg plastik yang dijual? Adakah alam sekitar akan mengalami gangguan dengan penggunaan beg plastik yang diberi secara percuma?

Rakyat merasakan dengan undang-undang ini seolah-olah mereka berada dalam sebuah kerajaan kartun.

Harga satu beg plastik yang dijual bukan murah. Harganya 20 sen satu. Kalau setiap suri rumah memerlukan sekurang-kurangnya lima beg plastik untuk mengisi barangan, mereka perlu tambah RM1.06 sen. Yang 6 sen itu adalah GST.

Sudahlah harga barang dikenakan GST, beg plastik pun dikenakan GST.

Alangkah mudahnya kerajaan dan tauke pusat beli belah ‘merompak’ duit rakyat.

Cukup-cukuplah bebankan rakyat yang sudah terbeban dengan kos sara hidup yang agak tinggi ini.

Kerajaan negeri patut cari alternatif lain untuk memberi kesedaran kepada orang ramai agar tidak menggunakan beg plastik.

Caranya banyak. Antaranya, beg plastik boleh digantikan dengan penggunaan beg kertas atau membenarkan suri rumah membawa raga atau bakul sendiri ketika masuk ke pusat beli belah.

Tetapi ini tidak berlaku di kebanyakan pusat beli belah. Raga atau bakul tidak dibenarkan dibawa masuk kecuali perlu diletakkan dalam rak simpanan barang.

Macam mana rakyat tidak merungut kalau perkara mudah menjadi payah?

Hidup di kota metropolitan seperti di Kuala Lumpur dan Selangor dari pagi sampai malam, rakyat tidak pernah sunyi dari menempuh ‘kepayahan’.

Mungkin ini kerajaan negeri mahu. Cemburu melihat rakyat hidup senang, kemudian dicari jalan untuk menyusahkan mereka.

Contoh ketara ialah larangan penggunaan beg plastik. Hanya plastik yang dijual atau dibeli sahaja boleh digunakan, yang percuma dilarang, ditegah, malah diugut akan dikenakan tindakan.

Inilah yang bakal berlaku mulai 1 September tahun ini. Sesiapa yang menggunakan beg plastik, termasuk juga polisterin akan dikenakan kompaun RM2,000. Tidak masuk akal langsung.

Hendak selamatkan bumi itu bagus tetapi jangan beg plastik dan polisterin sahaja menjadi mangsa. Kerajaan kena tengok juga aktiviti penebangan balak secara tidak teratur dan penggondolan bukit secara rakus.

Inilah punca sebenar alam sekitar tercemar dan bumi sakit.

Jangan jadikan usaha memulihara alam sekitar dan kempen sayang bumi sebagai jalan terbaik untuk mengambil duit rakyat secara halus. – MalaysiaGazette