AYER KEROH -Ibu kandung dan bapa tiri kepada kanak-kanak berusia tujuh tahun yang didakwa telah ditemui lemas dalam tong air di Krubong, di sini mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Kanak-kanak malang itu, Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek, juga dipercayai menjadi mangsa penderaan pasangan tersebut pada hujung bulan lepas.
Kedua-dua suspek, ibu kandung, Zuraida Atan dan bapa tiri mangsa, Mohd Fadzli Abdul Razak dihadapkan ke mahkamah di sini atas dua pertuduhan membunuh dan mendera kanak-kanak itu.
Suspek-suspek dikawal ketat serta bergari itu dibawa terlebih ke Mahkamah Majistret bagi pembacaan pertuduhan atas kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Mengikut kertas pertuduhan, pada jam 3.32 petang beralamat Taman Krubong Jaya, Zuraida telah bersama-sama melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian terhadap Zubaidi Amir Qusyairi.
Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh berhadapan hukuman mati.
Bagaimanapun tidak ada apa-apa pengakuan direkodkan bagi pendakwaan itu manakala Hakim Mazana Sinin memutuskan sebutan kes pada 29 Mac depan setelah keputusan bedah siasat diperolehi dalam masa terdekat.
Sejurus selepas itu, suspek dibawa ke Mahkamah Sesyen bagi kesalahan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kesalahan Kanak-Kanak 2001 yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-dua sekali.
Ketika pertuduhan tersebut dibaca di hadapan Hakim Nariman Badruddin, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Nariman kemudian menetapkan 29 Mac depan bagi sebutan semula kes.
Zuraida diwakili peguam bela, Ishak Mohd Kari, Yusman Che Aman dan Saifuzzaman Ab Rahman manakala suspek lelaki pula diwakili Datuk Ahmad Mustafi.
Terdahulu, Zuraida dibawa masuk dengan kawalan ketat polis manakala bapa tiri arwah pula tunduk sepanjang masa serta cuba menutup wajahnya.
Zubaidi Amir Qusyairi ditemui meninggal dunia di kediamannya di sini dalam sebuah tong air berketinggian 60.9 sentimeter kira-kira jam 4 petang pada 29 Januari lepas.
Hasil siasatan polis mendapati, pemeriksaan fizikal terhadap mayat mangsa menemui kesan lebam dan kecederaan di beberapa anggota badan kanak-kanak itu.
Hasil bedah siasat sebelum ini mendapati, banyak kesan lebam dan beberapa kecederaan lama serta baharu di badan kanak-kanak terbabit.
Selain itu, ada kesan luka kecil sepanjang tiga sentimeter di belakang kepala dipercayai baru berlaku terhadap mangsa. -MalaysiaGazette
MULA sekarang masyarakat terutama KEJIRANAN WAJIB PEKA..
Biar orang kata suka jaga kain orang tetapi kita perlu selamatkan kanak-kanak yang TIDAK BERDOSA dari DIDERA..Jika dengar kanak-kanak menangis berpanjangan atau meraung KESAKITAN , kejiranan atau rukun tetangga perlu ke hadapan mengetahui apa yang berlaku bukan sudah jadi seperti ini baru semua jadi penyibuk..
Baik kita hindari dahulu sebelum berlaku.