SETELAH KPM mengumumkan arahan baharu yang mana sesi persekolahan calon SPM secara bersemuka akan ditamatkan hari ini 9 Februari 2021. Kini segala pengurusan sekolah tertumpu kepada persediaan sekolah untuk melaksanakan peperiksaan SPM mulai 22 Februari 2021.
Taklimat juga turut diberikan kepada guru-guru untuk melaksanakan sebuah SOP peperiksaan SPM yang ketat. Dengan pelaksanaan SOP SPM yang ketat, yang akan memainkan peranannya adalah guru sebagai penguatkuasa SOP ini.
Ini menunjukkan bahawa tugas guru bertambah disamping sesi PdPR yang terus berjalan seperti biasa bagi murid tahun 2021. Antara SOP yang sedikit menambah tugas guru ialah apabila jika semua calon mempunyai 2 kertas peperiksaan yang perlu dijawab pada hari yang sama tetapi berselang 45 minit sahaja antara kertas pertama dan kedua, calon tidak perlu keluar dari dewan peperiksaan.
Manakala sekumpulan guru yang ditugaskan untuk menguruskan makan minum calon dengan cara mengambil pesanan dan menghantar makanan. Inilah antara isu yang sedikit memberi kesan kepada guru sedangkan pada masa yang sama guru yang bertugas juga perlu melaksanakan PdPR.
Jarak antara satu calon dengan calon yang lain juga ditambah menyebabkan bilangan dewan peperiksaan lebih banyak dengan tahun-tahun sebelumnya menyebabkan ramai guru dikerahkan untuk menguruskan calon-calon sebelum, semasa rehat dan selepas peperiksaan.
Untuk mengurangkan beban guru khususnya guru yang perlu mengambil pesanan dan menghantar makanan kepada setiap dewan peperiksaan, saya mencadangkan KPM memberikan bantuan makanan percuma buat semua calon SPM seluruh Malaysia.
Apa rasionalnya? Guru tidak mengalami masalah yang besar untuk mengambil pesanan dan menghantar makanan sebab semua calon akan makan makanan yang telah disediakan oleh pihak KPM. Bagi calon yang tidak mahu makan bantuan makanan yang disediakan, hanya boleh makan makanan yang dibawa dari rumah.
Dari aspek ibubapa dan calon, mereka tidak perlu risau terhadap perbelanjaan anak-anak mereka kerana ia telah diuruskan oleh pihak KPM. Manakala calon boleh menumpukan kepada kertas seterusnya tanpa pergerakan yang banyak.Di pihak pengusaha kantin sekolah pula, mereka memperoleh sedikit pendapatan hasil dari penyediakan makanan untuk bantuan ini yang dibayar oleh pihak KPM memandangkan pengusaha kantin terjejas pendapatan mereka akibat penutupan sekolah yang agak lama.
Peruntukan mana nak digunakan? Sehingga hari ini, kita semua tidak tahu apa kedudukan belanjawan Kementerian Pendidikan Malaysia seperti Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sama ada telah digunakan atau tidak? Hal ini disebabkan sekolah masih ditutup, tiada bantuan makanan dihantar kepada penerima RMT setakat ini. Bererti peruntukan RMT mungkin belum digunakan.
Belanjawan yang diluluskan adalah berdasarkan bilangan hari persekolahan dan jumlah murid yang layak. Sekolah telahpun bermula 14 hari yang lalu, maka peruntukan RMT selama 14 hari masih tidak digunakan. Untuk makluman semua peruntukan untuk bantuan RMT dalam belanjawan 2021 ialah sebanyak RM 420 Juta.
Jika KPM menggunakan hanya RM10.8 Juta dari peruntukan tersebut untuk memberikan makanan bantuan makanan kepada seramai 400,445 orang calon SPM selama 9 hari maksimum. Ia mencukupi.
Ia lebih baik berbanding peruntukan itu tidak digunakan sama sekali atau dihalakan kepada perkara lain. Langkah ini akan memudahkan pelbagai pihak walaupun mempunyai implikasi kewangannya. Harus diingat bahawa cadangan ini bukanlah penyelesaian utama tapi ia masih boleh dipertimbangkan.
Isu pokok dalam hal ini ialah KPM tidak mahu membuat penjajaran semula terhadap jadual SPM agar ia mampu meminimumkan pergerakan keluar masuk calon di sekolah.
Menjadi beban adalah pihak pengurusan sekolah dan guru-guru yang dikerah semaksimum mungkin untuk menguatkuasakan SOP.
Untuk mempertimbangkan agar jadual SPM dijajarkan semula amat mustahil memandangkan masa yang tinggal hanya seminggu lebih dan YB Senator Datuk Menteri Kanan Pendidikan kurang pantas merespons hal pendidikan semasa pandemik berbanding merespons isu gelaran ‘Datuk’.
Harapannya agar KPM mempertimbangkan cadangan ini serta melaksanakannya dengan cara yang lebih baik.
Syazmir Hariz Noorazalan
Penulis Politik