KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menghuraikan dasar dan syarat perburuhan yang dikenakan ke atas syarikat China, sama ada dipakejkan di bawah One Belt One Road (OBOR) atau sebaliknya di negara ini.
Ini kerana menurut Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), pihaknya mendapati pelbagai projek berbilion ringgit oleh syarikat China di Malaysia dikatakan bakal menjana hampir 400,000 peluang pekerjaan untuk tempoh 19 tahun dari tahun 2016 hingga tahun 2035.
Kata beliau, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed pernah memberitahu Dewan Rakyat pada Mac lalu, bagi tempoh Januari hingga Disember 2016, sebanyak RM4.8 bilion pelaburan China dalam sektor pembuatan telah menjana 10,147 peluang pekerjaan.
“Dia (Mustapa) juga kata, sejumlah 220 projek perkilangan China di Malaysia yang melibatkan pelaburan sejumlah RM14.2 billion pula menjana 33,020 peluang pekerjaan.
“Projek Melaka Gateway di Melaka dengan kos RM30 billion yang dijangka siap tahun 2025 bakal mewujudkan 40,000 hingga 45,000 peluang pekerjaan.
“Begitu juga dengan Projek Forest City di Johor yang beharga RM170 billion dijangka menyediakan lebih 220,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2035,” katanya dalam kenyataan kpada media di sini semalam.
Kata Ruhanie, berdasarkan kenyataan Mustapa itu, Perkasa mahu kerajaan menjelaskan kepada rakyat mengenai dasar dan syarat perburuhan yang dikenakan ke atas projek berkenaan.
Pertama, katanya, dengan penjelasan itu sekurang-kurangnya akan memastikan supaya kepentingan pekerja Bumiputera tidak diketepikan dalam projek yang dinyatakan itu.
“Kedua, adalah untuk memastikan semoga syarikat-syarikat China ini tidak mendiskriminasikan pekerja Malaysia yang tidak mempunyai kemahiran Mandarin dan ketiganya, untuk menentukan agar projek itu tidak melibatkan pekerja China yang dibawa masuk khas oleh pelabur berkenaan.
“Kita mengemukakan desakan ini kerana beberapa analisis antarabangsa menyatakan, mulai tahun lepas kira-kira 12 juta rakyat China kehilangan pekerjaan disebabkan kemerosotan ekonomi di negara mereka.
“Analisis ini juga menegaskan bahawa pekerja terbabit dijangka dikerahkan ke projek China di merata dunia,” katanya.
Oleh itu, ujar beliau, syarikat China yang melabur di seberang laut dikatakan akan mendesak negara destinasinya termasuk Malaysia supaya menerima kemasukan pekerja mereka di negara berkenaan.
Ruhanie yang juga Pengerusi Biro Ekonomi dan Agenda Nasional Bumiputera Perkasa berkata, analisis itu jelas menunjukkan kemasukan pekerja China untuk bekerja di projek milik negara mereka di seberang laut adalah suatu kemungkinan yang tidak boleh dipandang ringan.
“Kita dimaklumkan, ada sesetengah syarikat China di sini menggaji pekerja negara mereka yang dibawa masuk menggunakan pas lawatan sosial.
“Dalam konteks ini, Perkasa mendesak Jabatan Imigresen menjelaskan sama ada dakwaan penggunaan pas lawatan sosial bagi pekerja China berkenaan adalah benar dan pada masa sama adakah benar kemasukan pekerja terbabit melibatkan sindiket antarabangsa,” soal beliau.
Selain itu, kata beliau, Perkasa telah mengesan satu iklan atas talian yang menunjukkan sesetengah syarikat China yang beroperasi di Malaysia kini menitikberatkan warganegara Malaysia yang mahir berbahasa Mandarin.
Beliau memberi contoh, beberapa jawatan kosong China Railway Project berpangkalan di Terengganu, yang mana tujuh daripada 13 jawatan tinggi diiklankan secara atas talian itu mengutamakan kemahiran bahasa Mandarin. – MalaysiaGazette