Saudara Pengarang,
Antara kandungan satu khutbah Jumaat yang paling saya ingat adalah mentaati pemimpin yang tersenarai sebagai salah satu perintah Allah SWT.
Pemimpin bukan sahaja mempunyai tanggungjawab terhadap rakyat, tetapi juga berhak mendapat keadilan daripada rakyat.
Kata khatib yang membacakan khutbah pada hari Jumaat itu, sesiapa yang memuliakan dan menghormati pemerintah, maka Allah SWT akan memuliakannya pada hari kiamat.
Dalil yang dipetik adalah hadis diriwayatkan Imam Ahmad daripada Abu Dzar yang bermaksud: “Sesungguhnya akan muncul selepasku pemerintah, maka janganlah engkau menghinanya, sesiapa yang ingin menghinanya, maka sesungguhnya dia telah melepaskan tali kekang Islam dari lehernya”.
Saya memetik kandungan khutbah berkenaan kerana kebelakangan ini semakin menjadi-jadi perbuatan mempersenda, merendah-rendahkan, menghina dan menegur pemimpin secara kasar dan terbuka dalam media sosial.
Lebih menyedihkan ada juga yang memaki dan menghamun pemimpin atas pelbagai alasan, paling popular kononnya ia adalah tanggungjawab sebagai rakyat.
Itu yang berlaku kepada pemimpin-pemimpin kita, terutama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang diserang secara maya, berterusan menggunakan ‘senjata’ yang bagi saya bermotifkan politik semata-mata.
Tambah memalukan, serangan-serangan itu melangkau batas sempadan sehingga laman sosial Facebook (FB) Presiden Indonesia, Joko Widodo turut dijadikan medan ‘peperangan’.
Saya tidak pasti sama ada akaun penyerang-penyerang itu benar-benar tulen atau akaun palsu milik ‘tentera-tentera’ siber upahan pembangkang, musuh dalam selimut atau seteru yang tiada pendirian.
Memenuhkan FB pemimpin tertinggi negara jiran dengan tulisan-tulisan kejian, makian dan menghina pemimpin sendiri adalah sesuatu yang memalukan rakyat atau majoriti besar rakyat Malaysia.
Di mana semangat cintakan tanah air? Di mana maruah sebagai rakyat sebuah negara yang selama ini terkenal dengan budaya sopan dan santunnya? Di mana rasa hormat kepada Perdana Menteri?
Hujahnya tetap sama, persoal mengapa membuat lawatan ke luar negara ketika rakyat disekat pergerakan mereka. Bukankah Tan Sri Muhyiddin itu Perdana Menteri yang tanggungjawabnya melangkaui sempadan negara?
Sudah diperjelaskan ia adalah lawatan rasmi Perdana Menteri atas jemputan Presiden Joko Widodo. Diperjelaskan juga lawatan itu penting untuk mengukuhkan hubungan dua hala di antara kedua-dua negara.
Ia bukan lawatan peribadi, tetapi bagi membincangkan pelbagai perkara dan kerjasama ketika dunia diancam pelbagai masalah dan krisis, termasuk bagaimana kedua-dua negara boleh menjalin usaha sama dalam menangani pandemik Covid-19.
Kunjungan Perdana Menteri juga bukan untuk bercuti, sebaliknya tuntutan tugas dan amanah menjaga kepentingan Malaysia dan rakyatnya.
Pertemuan kedua-dua pemimpin bukan diisi sembang kosong, tetapi merangkumi pelbagai isu seperti ancaman terhadap minyak sawit yang berjuta rakyat kita mengusahakan kebun atau ladangnya.
Apa yang dapat daripada tindakan menghina dan memalukan Perdana Menteri? Berbaloikah jika ia sekadar rasa bangga yang disimpan sendiri?
Razali Yaakob
Gombak, Selangor