Home Seni Hidup Fauziah Nawi terharu Agong prihatin nasib anak seni

Fauziah Nawi terharu Agong prihatin nasib anak seni

Fauziah bersama rakan-rakan anak seni meluahkan rasa terharu dengan keprihatinan Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan untuk berjumpa pegawai Istana Negara bagi mendengar luahan hati penggiat seni sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan hari ini.-FB Fauziah Nawi.

KUALA LUMPUR – Pelakon veteran, Fauziah meluahkan rasa terharu dengan keprihatinan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menitahkan untuk berjumpa pegawai Istana Negara bagi mendengar luahan hati penggiat seni sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 13 Januari lalu.

Menerusi Facebook miliknya, Fauziah memberitahu beliau dan rakan-rakan lain telah diberi peluang meluahkan dan menyuarakan masalah dan keperitan yang dihadapi serta keadaan sebenar yang diharungi oleh anak-anak seni pada ketika ini.

“Patik merafak sembah dan menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas keprihatinan dan kepekaan terhadap keluh kesah kami sebagai penggiat seni yang amat terkesan akibat penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Alhamdulillah, atas titah perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda, patik bersama beberapa rakan seperjuangan dapat untuk bertemu dengan pegawai-pegawai Istana Negara pagi ini.

“Dalam pertemuan ini, patik-patik semua telah diberi peluang meluahkan dan menyuarakan masalah dan keperitan yang dihadapi serta keadaan sebenar yang diharungi oleh anak-anak seni pada ketika ini,” tulisnya.

Fauziah memberitahu, beliau dan rakan-rakan turut mengutarakan cadangan agar semua penggiat seni tanpa mengira cabang diberi kelonggaran prosuder operasi standard (SOP) untuk mereka kembali mencari rezeki.

Jelas beliau, ini kerana golongan itu tidak memiliki pendapatan tetap dan bergantung harap dengan tawaran bekerja untuk mendapat gaji.

“Patik-patik semua juga telah memberi beberapa pandangan dan cadangan supaya anak-anak seni, tanpa mengira cabang seni yang kami ceburi, khususnya supaya diberi kelonggaran dengan ketetapan SOP untuk bekerja mencari rezeki demi kelangsungan hidup kami dan keluarga-keluarga kami.

“Orang macam kami, ada kerja, ada gaji. Tidak ada kerja, tak ada gaji. Sejak penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan PKP, anak-anak seni tidak terkecuali dari tekanan ekonomi yang melanda ramai rakyat Malaysia di pelbagai sektor perniagaan yang disekat untuk beroperasi.

“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada pikak MKN, KKMM, KKM, FINAS dan semua persatuan-persatuan dalam industri seni di atas usaha-usaha baik dalam menangani permasalahan yang sedang di hadapi.

“Semoga luahan dan perkongsian patik-patik semua ini mendapat perhatian KDYMM Seri Paduka Baginda yang amat prihatin terhadap nasib dan keperitan hidup rakyat yang amat terkesan akibat penularan wabak Covid-19

“Patik-patik semua mendoakan semoga KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dikurniakan kesejahteraan dan keafiatan berpanjangan serta berada di bawah riayah dan perlindungan Allah SWT serta kekal memerintah negara dan menaungi rakyat dengan adil dan saksama,” katanya. – MalaysiaGazette.