KUALA LUMPUR – Bintang berbasikal negara, Azizulhasni Awang kembali ke menguasai kedudukan nombor satu dunia dalam acara pecut sekali gus menjadi pembakar semangat untuk dia ke temasya Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini.
Berdasarkan kedudukan semasa Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI), Azizul yang dikenali dengan julukan The Poketrocketman mengumpul 1,600 mata untuk menguasai kedudukan teratas mengatasi Tomohiro Fukaya di kedudukan kedua dengan 1,442.5 mata.
Sementara, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio, Sam Webster dari New Zealand berada di kedudukan ketiga dengan 1,390 mata manakala, Muhamad Shah Firdaus Sahrom berada di ranking ke-18 dengan 922.5 mata.
Dalam acara keirin, Azizul yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio berada di kedudukan kedua dengan 1,740 mata di belakang pelumba Colombia, Kevin Chavarro (1,790) dan juara Asia Yuta Wakimoyo ketiga, 1,715 mata.
“Saya rasa gembira dengan berita ranking semasa ini. Sudah tentu ianya menjadi motivational boost buat saya didalam persiapan ke Sukan Olimpik Tokyo Ogos nanti.
“Bagi saya, ianya juga adalah berita gembira buat arena sukan negara kita juga, diharap ianya sedikit sebanyak menjadi sumber inspirasi buat atlet-atlet muda di tanah air kita.
“Di samping itu, saya juga berharap rakyat Malaysia akan terus mendoakan agar segala persiapan berjalan lancar dan memenangi pingat Emas di Sukan Olimpik Tokyo nanti Insyaallah,” tulis Azizul di laman Facebook miliknya. – MalaysiaGazette