JOHOR BAHRU – “Saya kesian dengan rakyat Malaysia, ini saya ingat dah nak masuk Pilihan Raya Umum Ke-14 dan 20 tahun, ceritanya masih sama iaitu macam mana nak jadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,”
Itu kata Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang dalam masa yang sama bingung kerana sejak PRU-11 sampai menjelang PRU-14, ceritanya pembangkang masih sama.
Justeru, beliau mengajak rakyat negara ini tidak membiarkan diri masing-masing asyik melihat ke belakang tetapi terus bergerak ke hadapan kerana tanpa Anwar sebagai Perdana Menteri sekali pun negara tetap berjalan dengan baik.
“Daripada tiga pilihan raya yang lepas sampai sekarang, walaupun Anwar tak jadi PM negara kita ini tetap berjalan dengan baik. Apa hal kita ni, sedangkan satu dunia dah berubah tapi apsal kita ni asyik nak pusing balik nak pusing balik.
“Macam kita ni sanggup buat apa saja nak turunkan UMNO nak ubah pemerintah, kita janji setuju dengan apa pun yang kita tak pernah setuju pun kita boleh setuju. Saya ingat kita dah sampai satu peringkat yang sungguh desperate.
“Kita kena adjust lah kepada perubahan yang berlaku takkan asyik kita nak gostan, kita kena go ahead…go forward. Ini saya punya pendapat sebagai orang yang berumur 68 tahun muda sikit daripada Anwar dan Tun Dr. Mahathir,” katanya lagi.
Shahrir turut mengingatkan rakyat supaya mengambil kira realiti dunia sekaligus bergerak ke hadapan.
Beliau ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Johor Bahru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Foon Yew 1 di Kebun Teh di sini hari ini.- MalaysiaGazette.