Home Dunia Aktivis Loujain al-Hathloul sudah dibebaskan dari penjara

Aktivis Loujain al-Hathloul sudah dibebaskan dari penjara

Loujain al-Hathloul. foto Agensi

DUBAI – Aktivis hak asasi wanita, Loujain al-Hathloul dibebaskan dari penjara Arab Saudi setelah hampir tiga tahun ditahan.

Pembebasan Loujain disahkan oleh keluarganya.

Penahanan wanita ini telah mendapat kecaman antarabangsa.

Loujain, 31, ditahan pada Mei 2018 dan dijatuhi hukuman pada bulan Disember hingga hampir enam tahun penjara atas tuduhan yang disebut oleh pakar hak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai “palsu” di bawah undang-undang kontra-keganasan

Mahkamah menangguhkan hukuman dua tahun 10 bulan.

Meskipun dibebaskan Loujain masih dilarang melakukan perjalanan selama lima tahun oleh mahkamah.

“Loujain ada di rumah !!!!!!,” menurut kakaknya, Lina menerusi Twitter.

Saudaranya, Alia, memaklumkan Loujain berada di rumah ibu bapa mereka di Arab Saudi.

Dia turut memuat naik gambar Loujain tersenyum di taman, kelihatan kurus.

Kumpulan hak asasi dan keluarganya berkata, Loujain yang telah berkempen hak wanita untuk memandu dan mengakhiri sistem penjagaan wanita oleh kaum lelaki didakwa telah didera termasuk dikenakan kejutan elektrik, serangan seksual, disebat dan dilemaskan.

Namun, pihak berkuasa Arab Saudi menafikan tuduhan tersebut.

Sebuah mahkamah rayuan Arab Saudi menolak dakwaan penyeksaan itu, dengan alasan kekurangan bukti, kata keluarganya. – MalaysiaGazette