Home Nasional Pusat urut tawar pakej pelacuran menerusi Telegram

Pusat urut tawar pakej pelacuran menerusi Telegram

11 wanita vietnam yang digunakan dalam pakej pelacuran oleh dua rumah urut tanpa papan tanda berjay digempur Penguatkuasa Imigresen di Bandar Puteri Puchong semalam.

KUALA LUMPUR – Dua buah pusat urut yang menawarkan pakej pelacuran gadis warga asing digempur Jabatan Imigresen.

Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, premis pusat urut itu tidak mempunyai papan tanda dan tempahan dilakukan menerusi aplikasi Telegram.

Bagaimanapun taktik pemilik premis di Jalan Puteri, Bandar Puteri Puchong, dekat sini berjaya dihidu Jabatan Imigresen apabila diserbu pihak berkuasa itu dalam satu operasi semalam.

Ketua Pengarahnya Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, hasil serbuan di kedua-dua rumah urut haram itu membawa kepada penahanan 14 orang warga asing serta seorang warga tempatan.

“Hasil risikan mendapati premis ini dikunjungi pelanggan yang terdiri daripada warga tempatan dengan menggunakan pakej perkhidmatan seks yang ditawarkan adalah sekitar kadar RM180 hingga RM225 bagi satu pakej,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan Ibu Pejabat Imigresen telah menyerbu premis-premis ini secara serentak pada jam 4.30 petang dengan kekuatan seramai 35 orang Pegawai Imigresen.

Semasa serbuan, ujar beliau, kedua-dua pintu premis terpaksa dipecahkan kerana pengendali rumah urut itu berkeras dan tidak mahu bekerjasama untuk membuka pintu tersebut.

Bagaimanapun, katanya, cubaan penjaga premis ini untuk menghalang Pegawai Imigresen serta cubaan meloloskan diri oleh wanita-wanita warga asing dan pelanggan berjaya digagalkan.

“Pasukan turut menjumpai sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk dihubungi oleh pelanggan-pelanggan yang hendak mendapatkan perkhidmatan pakej pelacur di premis tersebut yang disembunyikan di atas siling tandas,” ujarnya.

Tambah Khairul Dzaimee, pemeriksaan di premis mendapati aras dua bangunan itu telah dijadikan tempat menunggu oleh pelanggan dan aras yang sama juga dijadikan tempat tinggal wanita-wanita warga asing tersebut, manakala kegiatan-kegiatan urut dan pelacuran dijalankan di tingkat tiga premis itu.

Menurutnya, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah kesemua warga asing yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan tinggal lebih masa di negara ini serta lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua tahanan akan ditahan di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk siasatan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Jabatan Imigresen Malaysia akan mengkaji kemudahan yang diberikan kepada warga asing yang masuk ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial sejak 1 Januari 2020 dan tidak keluar kerana terkandas akibat faktor-faktor berkaitan Covid-19 untuk pulang tanpa pas khas melalui pintu-pintu masuk yang diwartakan.

“Ini adalah kerana Imigresen telah mengesan beberapa kes warga asing yang menyalahgunakan kemudahan ini dengan tidak keluar terus pulang ke negara asal tetapi bekerja secara haram di negara ini,” kata beliau. – MalaysiaGazette