Home Nasional Bantuan one-off petugas KKM mula dibayar 1 Mac

Bantuan one-off petugas KKM mula dibayar 1 Mac

Foto hiasan

SERDANG – Bayaran ‘one-off’ RM500 kepada 140,000 petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM), akan mula dibayar pada 1 Mac ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata petugas yang layak boleh mula membuat permohonan untuk tuntutan bayaran tersebut bermula bulan ini.

“Pemberian bantuan one-off ini merupakan tambahan kepada Elaun Khas COVID-19 sebanyak RM600 sebulan kepada barisan hadapan, yang sudah mula dibayar sejak Mac tahun lepas.

“Bantuan ini layak diberikan kepada pegawai yang merupakan anggota barisan hadapan yang diarah dan terlibat secara langsung melaksanakan skop tugasan dalam rantaian pengurusan wabak COVID-19,” katanya selepas membuat lawatan ke Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha KKM Datuk Mohd Shafiq Abdullah dan Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Hospital Pengajar UPM Prof Ir Dr B. T. Hang Tuah Baharudin.

Dr Adham berkata Surat Pekeliling Ketua Setiausaha KKM akan dikeluarkan, bagi menjelaskan pelaksanaan pemberian one-off tersebut.

“Adalah diharapkan pemberian ini, dapat menyuntik semangat petugas barisan hadapan KKM dalam meneruskan perjuangan memerangi wabak COVID-19,” katanya.

Pada 18 Jan lepas, semasa pengumuman khas Pakej Bantuan Pelindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bayaran one-off RM500 kepada petugas KKM, akan mula dibayar suku pertama tahun ini.

Sementara itu Dr Adham berkata, Hospital Pengajar UPM merupakan institusi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi yang telah dipilih sebagai salah satu pusat pemberian vaksin COVID-19, yang akan memulakan program imunisasi pada 26 Feb ini.

“Kita dapati hospital ini mampu untuk menyediakan tempat vaksinasi yang selesa,” katanya.

Dr Adham berkata setiap pusat vaksinasi COVID-19 yang dipilih, perlu membuat persiapan mengikut standard yang ditetapkan dan memenuhi keupayaan sebenar sesuatu pusat itu.

Beliau berkata berkata tujuh petugas terdiri daripada pegawai perubatan serta jururawat, akan ditempatkan di setiap fasiliti suntikan vaksin, dan menjangka setiap hari seramai 210 penerima vaksin akan disuntik.

— BERNAMA